Thursday, December 30, 2010

VVIP

Bos aku yang duk citer dulu merupakan sorang yang anti polisi kerajaan. Diulang anti polisi kerajaan bukan anti kerajaan. Bukan apa nanti berlakunya salah faham akibat salah tafsir dan lanjutan daripada itu beliau berkemungkinan besar untuk dihumban dalam ISA sana. Lagi-lagi pulak pada zaman ketidaktentuan politik ini. Kalau lah itu terjadi mana pulak aku nak kerja sebab duk sibuk ulang alik ke Kemunting buat piket untuk pembebasan beliau untuk dicalonkan dalam pilihanraya umum yang mendatang.
Antara polisi yang dipandang sebelah anak mata yang ala-ala berbentuk pipih akibat disuluh spotlight disco adalah soal pengurusan sampah sarap. Sekarang ni orang duk sibuk nak kitar semula tapi beliau masih mengamalkan gaya lama yng menghasilkan sampah tanpa rasa sesal. Minggu lepas sahaja rekod tahun ini telah berjaya dipecahkan untuk kali ke 108. Sebanyak 6 guni sisa pejabat telah dihasilkan secara skala besar bersaiz industri multi cakerawala. Tapi yang anehnya kesemua guni-guni sarat itu dihimpunkan setempat di tengah-tengah ruang untuk tatapan mata awam. Bukan untuk membuat ungun api sebab beliau masih sangat waras untuk terlibat dalam aktiviti laku musnah yang menjadi trend orang psiko masa kini.
Bila ditanya kenapa tak buang sedangkan jarak tong sampah berdekatan adalah kira-kira 15 minit sahaja jika berjalan gaya itik, dengan selamba jawapan yang diberi adalah "sekarang tak boleh buang, malam ni kul 9 baru boleh sebab jalan tepi tempat pembuangan tu adalah laluan istana maka takut pembesar terganggu dengan pemandangan sampah yang ngeri itu pihak berkuasa tempatan pun menguatkuasakan undang-undang berkenaan".
Kedengaran agak janggal kerana tiada langsung peringatan sedemikian tertera ataupun notis-notis digugurkan dari pesawat untuk penduduk setempat. Dan dengan yakinnya (macam selalu) beliau mengajak aku pergi menjarah kawasan berkenaan sebagai bukti peringatan yang terbabit benar-benar dipasang untuk tatapan mata pembuang sampah separuh masa. Apabila sampai sememang ada banyak papan tanda sebegini;
"macaroni bakar, sila tepon 09747xxxx"
"kambing untuk aqiqah, sila add fesbuk untuk tempahan"
"urut batin, lelaki sahaja sila kontek pak akob kat pakakobtukangurut@gmail.com"
"tukang boreng air sila hubungi balai bomba"
Aku terpana sambil berpikir; "kat mana??"
*??????

Monday, December 27, 2010

Dah submit

Tadi baru dapat tahu sorang teman seperjuangan telah berjaya submit tesis dan sekarang goyang kaki tunggu viva sahaja. Sebagai sorang yang banyak tahu pasal si kawan ni dan masalah-masalah yang beliau hadapi sepanjang kerja dia aku tumpang kagum. Beliau telah berjaya submit, selangkah lebih cepat dari aku sendiri. Selangkah? Mungkin beratus langkah kot sebab katanya dah submit sebulan. Bila dengar aku jadi seriau. Seriau sebab aku punya bila lagi nak submit? Lebih mendebarkan ada sorang insan yang dulu kami janji nak hantar dan grad sekali pun dalam proses menyiapkan tesis jugak. Hantar itu pasti cuma tak tahu sape dulu. Aku ke dia..? Persoalan lain yang timbul, boleh ke grad sekali, ke igauan ngeri semata? Terasa nak bagi pelempang. Kat diri sendiri...

Kejadian

Selama ni aku drive memang bukan macam pemandu berhemah pun. Itu kena akui sebab malas jadi hipokrit. Biarpun aku kurang mengamalkan perkara sebegitu jika orang lain nak berhemah atas jalan itu langsung tidak mendatangkan masalah kat diri aku ni. Cuma agak jengkel dengan sikap sesetengah pemandu yang terlebih berhemah hinggakan sepanjang jalan buat macam kawasan sekolah. Menyusahkan. Aku jugak sangat bersyukur sebab belum pernah sekalipun terlibat dengan xcident ni. Nyaris-nyaris xcident tu tak mau komen sebab nanti ada orang pergi report kat parents aku lepas baca. Buat orang tua jadi runsing tak bertempat bukanlah perbuatan yang aku gemar sangat. Tapi ada 2 kejadian orang rempuh keta aku masa keta aku tengah berada pada posisi parking. Pertama sorang makcik yang baru pulang pasar malam. Alasannya dia sangat teruja sebab dapat beli seluar murah maka dia gagal tumpukan perhatian masa keluar parking lalu sesuka hati rempuh keta aku. Sebegitu picisan alasan dia tapi nasib baik dia bayar ganti rugi.
Kejadian kedua aku tak tahu makhluk mana yang rempuh sampai kemek sebab memang tak sedar. Tapi sangat yakin dia rempuh masa dia nak keluar parking jugak tapi aku memang tak sedar dan tak tahu tempat mana sehinggakan diberitahu oleh sorang yang bertanyakan tentang kemek kat keta aku tu. Cuma ada terlintas mungkin yang langgar tu adalah lembu sebab memang bangang langgar keta orang dan kemudian blah macam tu. Seolah-olah lepas berak pastu blah dengan selamba. Sah-sah keje lembu sebab kambing tak cukup kuat, kerbau lak jarang jumpa dan babi hutan keluar malam. Tapi takkan la lembu berkeliaran membabi buta pulak. Malas nak pikir la, kalu pikir pun bukan boleh elok macam tu je lagi buat sakit kepala saje.
Jumaat lepas aku buat satu lagi rekod yang tak dibanggakan sama sekali. Petang tu aku telah langgar kucing area Tok Bali. Nak dijadikan citer si kucing yang berkaler kuning tompok-tompok ni tetiba meluru keluar dan berhenti di tengah-tengah jalan dan memandang ke arah keta aku yang meluru ibarat peluru getah. Si kucing cuba berpatah balik tapi tak sempat dan aku memang betul-betul dapat rasa tayar keta aku menggilis sesuatu. Dari cermin aku dapat tengok dengan jelas si kucing terbaring tapi aku tiada keberanian untuk berhenti dan periksa. Bukan takut dibelasah orang kampung sebab tiada orang kampung akan marah jika langgar kucing tapi aku betul-betul tak mahu tengok hasil kerja tanga aku tu sebab dihambat rasa bersalah yang teramat. Aku tak salahkan kucing sebab dia binatang tak berakal, kalau aku bawak slow sikit mungkin dia masih sempat ketepi. Dalam perkiraan aku si kucing hanya perlukan dua saat lagi untuk mengelak. Ini bukan semberono tapi ikut hukum fizik yang melibatkan beberapa formula rumit. Dan tadi aku melalui tempat yang sama dan sempat melihat sekujur bangkai kucing terbaring di atas rumput tepi jalan berkenaan. Mungkin ada insan mulia yang mengalihkannya ke tepi. Imej kucing itu terpahat kemas di ingatan sebabnya sebelum rempuhan berlaku dia sempat memandang ke arah aku. Pandangan itulah yang aku gagal lupakan!

Thursday, December 23, 2010

Besar

Hari ini aku cuba selami perasaan orang berbadan besar. Selain daripada istilah 'besar' antara perkataan yang sewaktu dengannya adalah chubby, berisi, sehat, gebu, geban dan jugak courts mammoth. Yang sikit kurang ajar mungkin memanggil dengan gelaran golongan 'perut mancung', kelihatan sedap didengar tapi membawa erti yang cilaka secara tersirat. Selalunya orang bersaiz mega selalu merasakan mereka didiskriminasi tak kira secara terang-terangan mahupun secara halus. Entah siapa yang menanamkan mentaliliti sebegitu sehinggakan diterima ramai tanpa dikemukakan peluang untuk mana-mana bantahan.
Mengikut pemerhatian aku selama ini majoriti masyarakat mempunyai persepsi tersendiri ketika berhadapan dengan individu sebegini. Contohnya di mana-mana tempat makan jika mereka mengambil makanan berlebihan orang akan mengata "wah tak heran lah badan macam tu tengok makan tak hengat dunia!". Tapi sebaliknya ayat sebegini akan diutarakan jika makanan yang diambil adalah sedikit "Ala nak cover la tuh...macam la orang tak tahu dia suka mengtekedarah!". Sebenarnya apa pilihan yang sepatutnya jika di dalam situasi sedemikian?
Keadaan di pusat-pusat senaman tak banyak berbeza. Jika menyertai selalunya disindir ataupun diumpat sebegini "Huh, dah terlambat baru nak sedar, entah bila akan kurus tak tahu la". Sebetulnya dengan anggapan dan sindirin sebegini la membuatkan mereka tawar hati untuk mengambil langkah yang sepatutnya. Kata-kata menyakitkan hati langsung tidak membantu sebaliknya membuatkan mereka merasa rendah diri untuk menempatkan diri dalam masyarakat.
Kalau orang bersaiz besar bergaya pun ada yang tidak berpuas hati lantas mengeluarkan ayat-ayat pedas sebegini:
1. "Lor aku ingatkan belon iklan mana mendarat tadi"
2. "Kesian, rumah diorang takde cermin ke?"
3."Dia tu sebijik macam nangka yang dibalut kat belakang rumah atok aku"
4. "Aku harap dia akan sedar diri"
Sebaliknya jika mereka tidak menitikberatkan penampilan pun akan mengundang cercaan yang bukan sedikit.
Sebenarnya ramai di antara kita hanya sekadar melawak disebabkan menganggap perkara sedemikian melucukan. Tetapi mereka kurang sedar kelucuan di mata sesuatu pihak mengundang penghinaan di pihak lain. Bukan semua yang mempunyai pemikiran macam ni tapi kita tak boleh menafikan menda-menda sebegini tidak wujud. Di kalangan kanak-kanak pun mereka yang berbadan besar dari biasa selalunya akan dibuli dan dipersenda oleh budak-budak lain.
* aku tak gemuk

Wednesday, December 22, 2010

Duit

Zaman sekarang ni duit menjadi suatu keutamaan yang sangat2 luar biasa. Sebab duit orang menipu, merompak, mencuri sampaikan saling berbunuhan. Semua ini bukan lagi luar biasa. Kalau bukak paper baca setiap hari semua boleh jumpa. Takkan ada yang baca berita sebegini sampai juling bijik mata akibat terkejut badak sebab semuanya dah jadi biasa. Ataupun kita dah membiasakan diri dengan tragedi duit maka tiada apa perlu dihairankan. Kecoh la sehari dua pastu semua pakat lupa.
Lagi dasat bila berurusan dengan pelbagai agensi yang melibatkan birokrasi. Duit kopi bukan lagi menjadi suatu isu basi. Seolah-olah menjadi perkara halal dalam pengharaman. Seorang pakcik separuh umur yang berpendidikan tinggi mengadu beliau terpaksa menunggu setahun setengah untuk urusan berkaitan tanah. Sedangkan sorang umat lain yang hulur ribu raban hanya tunggu sebulan dua pastu setel. Lebih malang lepas setahun setengah borang permohonan si pakcik ini diisytiharkan hilang. Akibat prinsip hidup yang dipertahankan beliau enggan membayar walaupun sangat2 berkemampuan.
Tak salah jika mahu hambat duit sehabis-habis kudrat yang ada. Bukan juga satu dosa jika mengumpul duit setinggi gunung tapi satu peringatan duit itu bukanlah segalanya. Untuk berjaya duit tidak semestinya menjadi syarat utama tapi jika dah jadi hamba duit berjaya takat manapun takde maknanya lagi.
*duit dan budi....aku prefer yang kedua.

Monday, December 20, 2010

Tikus dan Katak

Aku tulis entri ni dengan pikiran yg sangat2 positif. Bukan apa ikut kata sebuah artikel kita mestilah kena berpikiran positip sepanjang masa. Maksud sepanjang masa ni adalah sangat jelas sehinggakan ketika beli ikan pun turut termasuk sekali. Artikel tu pulak sememangnya boleh dipercayai dan diterbitkan oleh pakar-pakar bertauliah dalam bidang masing-masing. Kalau penulisnya seorang yang gila ising siang-siang lagi orang tak baca. Kalau terbaca sekalipun automatik buat-buat lupa.
Tadi semangat berkobar-kobar untuk menulis tesis yang entah bila akan siap itu. Tapi bila sampai lab tak boleh bukak komputer sebab ada kabel-kabel tertanggal dengan sendirinya. Takde pulak nampak menda tu tertanggal tapi saje je untuk berpikiran positip sebab takkan la binatang makmal yang dalam kurungan itu sebegitu pintar mencabut kabel-kabel yang penting untuk kegunaan peribadi. Secerdik manapun haiwan tak mampu kot memilih kabel-kabel tertentu untuk dirembat. Ataupun mungkin jugak katak-katak betina yang menjadi bahan kajian aku itu mahu memeriksa data-data terkumpul untuk mengambil tahu dunia penyelidikan yang turut melibatkan mereka. Takpun para tikus yang secara genetiknya gila babi mempunyai hasrat murni untuk memeperbetulkan data-data aku yang mungkin tak berapa tepat itu. Bila pikir macam ni aku berasa beruntung sebab dikelilingi haiwan yang bijak dan licik. Licik sebab hasil kerja tangan mereka ini gagal dikesan pulak.
Nyaris terlupa, makmal aku nih ada CCTV. Nanti boleh la perati sama ada ini adalah kerja katak ataupun tikus yang gila babi itu. Eh silap gila babi tak sesuai sebab bahasa kasar dan nampak kekampungan pulak. Boleh pakai istilah ini, tikus yang ada genetik sawan. Wah macam tak percaya pemikiran aku sebegini positip. Rasa lebih bahagia pun ada.

Wednesday, December 15, 2010

Blind Date

Beberapa tahun lepas bila orang cakap pasal blind date aku pasti terpinga-pinga sendiri. Kedengaran macam sangat asing lagipun aku tak pernah diajar dan didedahkan dengan perkara-perkara sebegitu rupa. Bila dah terjebak dengan drama-drama bersiri korea yang rata-ratanya bersemangat jiwang barulah mula faham dan mengerti. Disebabkan drama-drama jenis macam ni sangat mengambil masa untuk ditonton maka aku pikir lebih baik bersara saja dari drama Korea dan mengalih perhatian pada siri Mr Bean. Sebab lain adalah dalam drama-drama tersebut terlalu banyak watak tukang kacau daun diketengahkan, membuatkan aku jadi meluat. Daripada mengambil risiko kena strok depan TV atau komputer lebih baik aku stop.
Berbalik pasal blind date, aku tak rasa ini adalah cara yang membantu sangat untuk berpasangan. Lagipun untuk pertemuan kali pertama sebegitu semuanya nampak plastik dan kaku. Peluang untuk berjumpa dengan penipu pun sangat cerah. Tingkah laku pun masih boleh dipertikai dan dikaburi dengan kepura-puraan. Kalau jenis tak berapa konfiden dengan diri biasanya akan bermekap macam hantu opera sungguhpun perjumpaan diadakan pada malam hari. Mungkin pendapat setiap orang tak sama tapi adalah penting untuk mengenali terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya diambil. Zaman sekarang ni apa-apa pun boleh jadi lagipun tak rugi untuk berhati-hati.
*sekarang cuaca kembali panas, dua bijik kipas masih tak cukup..!

Tuesday, December 14, 2010

Nama

Semua ibubapa yang baru mendapat zuriat biasanya menamakan anak masing-masing dengan nama yang dirasakan paling baik. Satu nama dipilih daripada sekian banyak pilihan dalam senarai. Tak ada yang sanggup menamakan anak mereka dengan gelaran yang termasuk dalam kategori hina dina ataupun membawa maksud yang tidak elok apatah nama menamakan dengan nama-nama haiwan. Seteruk mereka yang buang bayi pun takkan menamakan bayi mereka dengan seburuk-buruk panggilan. Contohnya sorang ibu yang membuang bayinya di kawasan sampah tidak akan sesekali meninggalkan pesanan untuk menamakan anaknya itu walau dalam apa bentuk wasiat sekalipun. Kalau masih tak percaya boleh periksa rekod kat balai polis. Jika itu gagal memuaskan hati boleh serbu balai cerap.
Sesuatu yang tidak boleh diambil ringan adalah sesuatu nama yang baik maksudnya untuk sesuatu kelompok kadangkala membawa maksud atau bunyi yang melucukan pada kelompok lain. Contohnya masa aku sekolah dulu ada sorang guru yang namanya jika diertikan dalam bahasa arab akan membawa maksud sebuah kapal. Setiap kali dia masuk kelas kami akan buat bunyi serombong kapal sebagai isyarat. Bila belajar kat matrix lagi banyak nama-nama aneh yang kena biasakan sebab ramai keturunan bugis dan jawa melata kat sana. Rasa macam nak pecah perut bila ada yang bernama Kudikon dan juga Tukimon. Entah apa maksudnya aku kurang pasti. Nama-nama yang berbangsa lain pun tidak kurang peliknya. Ada kawan aku dari Swiss bernama Janin, tidak perlu diterjemahkan maksudnya sebab semua sudah maklum. Senang cakap lagi banyak orang yang berbeza keturunan ditemui lagi bertambah asing nama-nama yang didengari. Sungguhpun tak pasti maksud sebenar nama-nama itu tidak diragui yang semuanya membawa maksud yang baik-baik berdasarkan pertimbangan masing-masing.

Syarat

Syarat dia nampak macam mudah. Tapi kena komited. Sekurang-kurangnya buat-buat komited pun takpe. Kalau dia kata jangan makan itu ini selama seminggu masih boleh diterima. Jangan buat menda-menda tak sepatutnya seminggu pon dirasakan tidak mendatangkan banyak masalah. Tapi jangan kena sinaran mentari 7 hari berturut-turut sangat menyusahkan. Seolah-olah memohon untuk menjadi puntianak. Sekarang baru aku paham, statement tu ibarat sekuntum bunga mawar, nampak indah tapi dipenuhi duri-duri halus...silap pegang berdarah dan yang pastinya menyakitkan.
*hari keempat dah langgar, lalalalalalala....

Monday, December 13, 2010

Disember

Sekarang ni dah masuk bulan Disember. Sebenarnya bagi mereka yang sedar dah cecah tengah bulan pun. Kejap lagi masuk tahun baru pulak yang biasanya diiringi berbakul azam yang bakal dibakulsampahkan sebelum diforward ke tahun depan pulak. Macam mana nak buat azam baru sedangnya yang dua tahun lepas pun masih bersisa. Masa zaman budak sekolah dulu bulan ni paling best. Bukan sebab Krismas tapi sebab musim cuti sekolah. Masa inilah nak relax sikit sambil bermalas-malasan yang sememangnya dah jadi darah daging.
Tambah lagi kat Pantai Timur masa nilah musim tengkujuh. Bila asyik hujan dan suasana jadi sejuk perkara terbaek adalah tidur. Bunyi hujan mencurah dijadikan melodi paling merdu untuk lelap. Bila bangun makan ubi rebus pastu tengok TV kejap. Kebetulan segala jenis ubi akan muncul di sana-sini seiring dengan musim hujan. Kalau sudi boleh jugak pakat harung air yang melimpah kat belakang rumah dengan adik-adik. Siap buat titi lagi, macam real.
Yang tak bestnya bila dah masuk hujung bulan sebab Januari akan tiba lagi. Semua kena pergi sekolahsemula. Baju, seluar, kasut baru gagal menaikkan semangat untuk ke sekolah. Walaupun dah bertahun-tahun bersekolah hari pertama dirasakan sangat menyiksakan. Selalunya hari pertama akan mendung, semendung hati yang gundah. Tapi bila masuk minggu kedua segalanya seolah kembali pada rutin. Rutin dulu-dulu yang berpuluh hari ditinggalkan. Rutin yang tidak mungkin berulang lagi untuk masa sekarang. Sesekali terbit juga rasa rindu.

Tol

Last week hari Kamis aku masih kat Bandar Kelang. Lebih kurang seminggu menjengah Kolompo aku amik peluang untuk berfoya-foya seadanya. Sebenarnya pergi atas urusan kerja tapi disebabkan berboskan sorang yang huha-huha maka sama-sama pakat enjoy. Aku dengan bos sama-sama bukan orang KL maka kami selalu sesat. Suka dinyatakan kami pergi bertiga, kiranya bermaksud bos diiringi oleh orang kanan dan kirinya. Tapi sebab dia senang dibuli maka dia jadi drebar dan bawa kami pusing-pusing dengan gaya pemanduan seorang samseng.
Ikut katanya kalau drebar berhemah tak boleh hidup kat KL dan lebih baik balik kampung tanam jagung. Sebab gaya pemanduan yang rakus+buta jalan kami banyak menghabiskan masa di atas jalanraya sambil mengkayakan tol punya kompeni. Pendek kata banyak pusingan lengkap telah dibuat sepanjang jalanraya dan lebuhraya gara-gara terlepas satu susur keluar. Akibat terlalu banyak banyak tol kad touch n go menghampiri paras sifar maka di suatu hentian tol nilai itu perlu ditambah maka si bos yang selalu buat muka konfiden itu mengutarakan pertanyaan berbunyi;
"Adik, macam mana kalau nak buat tol?"
Dengan selamba penjaga tol membalas;
"Hai kak, tak cukup lagi ke tol yang ada?"

Wednesday, November 24, 2010

Comfort Zone

Psikologi biasa untuk sorang manusia, bila dah capai ke tahap 'comfort zone' seolah-olah pertimbangan untuk pilihan lain seakan terhijab. Hidup dirasakan terjamin maka untuk apa bersusah payah memikirkan perkara-perkara lain yang belum tentu menjanjikan apa-apa secara pasti. Lebih baik teruskan apa-apa saja yang ada, bukankah itu lebih baik? Lagipun kehidupan ini penuh dengan risiko jika silap percaturan kesannya bukan sedikit malah boleh mengakibatkan perjalanan tersasar jauh dari landasan asal.
Tapi sejauhmana kita tahu pilihan yang ada merupakan yang terbaik? Tiada siapa pun boleh memberi jawapan yang pasti. Rasanya tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru, siapa tahu itu merupakan perkara yang jauh lebih baik. Bukan satu kesilapan ataupun dosa sekiranya apa yang dicuba tidak menjadi seperti yang dirancang tapi adalah silap sekiranya sama sekali tidak mencuba. Lagipun itu semua bergantung pada diri sendiri cuma jangan sesekali dilupa pada Yang Maha Esa. Hidup tanpa sebarang kesilapan adalah tidak normal. Yang paling penting belajar dari kesilapan dan jadikan ianya satu panduan. Tidak mengapa untuk melalui saat-saat yang teruk kerana tanpanya kita tidak akan mengetahui perasaan sedemikian. Bila tidak tahu bagaimana untuk memahami satu keperitan?
J.K Rowling yang menulis siri Harry Potter dikala membuat keputusan untuk menamatkan siri tersebut pernah ditanya adakah beliau gusar sekiranya gagal menyerlah sebaik siri tersebut ditamatkan menjawab beliau sama sekali tidak bimbang. Keputusan untuk menamatkan adalah kerana rasa sayangnya pada siri tersebut. Dan sekiranya karya seterusnya gagal menyaingi kehebatan Harry Potter itu tidak menjadi masalah kerana ia adalah dua perkara yang sama sekali tidak berkaitan. Kita selalu bimbang apa yang bakal kita lakukan tidak sehebat apa yang dilakukan sekarang tetapi kita selalunya tidak sedar, sekurang-kurangnya kita telah diberi peluang untuk jadi hebat maka janganlah kita hidup dalam kerisauan kerana lebih elok untuk hargai apa yang telah kita ada. Dan penting untuk mengatahui hargai apa yang kita ada bukanlah suatu kekangan untuk mencuba sesuatu yang baru.

Monday, November 22, 2010

2 minggu

Dulu canang nak kawen. Pastu macam biasa ikut adat, bertunang dulu. Sehari dua pas bertunang mula stat pilih baju kawen. Sebenarnya dah hanta upah jahit pun. Tapi tak sempat siap sebab tunang putus tengah jalan. Senang cakap lepas 2 minggu. Tu pun pakai phone je, tapi takde la tahap anta sms saje. Ikut katanya belanja untuk majlis tunang habis 10 ribu. Duit hangus macam tu je. Tapi tak salahkan dia pun, memang patut pun putus cuma rasanya tak patut bertunang. Sebab dia kenal baru sebulan. Pompuan tu? Aku kenal dah lama cuma tak sangka dia akan bertunang dengan si lelaki ni. Bila dengar takde apa nak heran. Kan dah kenal maka apa yang peliknya bila putus?

Sunday, November 21, 2010

Keta Kabel & Gajah

Tahun 2006 entah kena rasuk dengan apa jembalang membuatkan aku bersetuju untuk menaiki keta kabel kat Langkawi sana. Dari bawah tengok keta tu sekecik bijirin corn flakes, duk tergantung pada bebenang yang halus sehingga naik juling bijik mata duk tengok lama-lama. Leher pulak macam leher angsa duk menjenguk ke atas tengok ke mana hala tujuan keta tu. Rupanya naik bukit yang dilatari hutan rimba yang tebalnya bukan boleh buat main. Aku tergolong jenis gayat maka untuk naik tempat tinggi-tinggi merupakan satu bencana besar. Tapi disebabkan terpengaruh dengan ajakan satu-satunya kakak yang aku ada maka naiklah aku dengan perasaan bercampur baur. Bila makin tinggi hati makin cuak tapi takdelah sampai muntah ataupun pitam. Merangkak-rangkak dalam keta yang kecil tu pun tidak berlaku sama sekali. Cuma rasa gerun sampai ketaq kaki tengok kat bawah. Ada gaung, hutan rimba dan jugak batu-batu besar. Kalau ditakdirkan jatuh, mati memang dalam tangan cuma yang jadi persoalan sama ada orang jumpa ke tak saja. Sampai puncak pun berangin sampai jambatan dirasakan bergegar, nak jalan pun tak mampu dah. Tinggi toksah citer sampai nampak Laut Andaman kat belah barat sana. Rasa pasni haram tak naik dah. Bukan apa masa kat Austria pernah naik jugak tapi takde sengeri yang tu, bawah pun ada salji sana sini kalau jatuh takdela dalam hutan rimba.
Tahun 2010 pulak pergi tunggang gajah betina. Mimpi apa tak tahu lah tapi serius cuak dan risau. Cuma keinginan untuk mencuba mengatasi ketakutan. Tapi risau sebab takde sebarang alas lapik kat gajah tuh. Memang duk atas belakang dia semata. Dengar citer pelakon filem Superman tu jatuh kuda sampai lumpuh, ni kalau jatuh gajah sah-sah mati kering. Tambah-tambah kalau si gajah naik minyak, mana mau selamat lagi. Tapi tawakal je la. Apapun semuanya ok cuma rasa takut tu membuatkan aku serik untuk naik lagi.

Saturday, November 20, 2010

Catur

Ikut bukti-bukti yang tak tahu kesahihannya dikatakan permainan catur berasal dari negara China. Selepas ianya siap direka ia dipersembahkan kepada maharaja China untuk dimainkan buat pertama kalinya. Ternyata maharaja sangat menggemari permainan itu sehinggakan menjadi permainan rasmi di istana baginda. Akibat tahap keseronokan yang mencecah paras maksima maharaja teringin benar untuk berjumpa dengan sang pereka catur itu untuk menganugerahkan ganjaran di atas idea kreatif beliau. Pada hemat beliau tindakan ini mesti dilakukan untuk menggalakkan penjanaan idea kreatif dalam kalangan masyarakat tapi biarpun begitu tidaklah sampai baginda memperuntukan berjuta-jutaan untuk menjayakan program sebegini kerana baginda tidak suka perbuatan membazirkan duit rakyat.
Berbalik pada sang pereka tadi setelah diarahkan berangkatlah beliau ke istana maharaja kerana adalah mustahil untuk maharaja itu berkunjung ke rumah pereka walaupun yang berkeinginan untuk berjumpa adalah baginda sendiri. Sebaik mengadap maharaja si pereka terus ditawarkan ganjaran dan sebagai bonus diberikan kebebasan untuk memilih ganjaran yang bakal diperoleh nanti. Dengan berhemah si pereka memohon untuk setiap petak papan catur itu dikurniakan sebiji beras tapi jumlah beras hendaklah digandakan untuk petak seterusnya sehinggalah ke petak terakhir. Untuk rekod papan catur ada 64 buah petak.
Mendengarkan permintaan si pereka maharaja ketawa terbahak-bahak kerana beranggapan si pereka adalah seorang yang bangang. Bagi baginda itu hanyalah hadiah yang sangat-sangat kecil dan langsung tiada makna. Dengan segera maharaja menitahkan seorang pekerja istana untuk mengira bijik beras untuk dikurniakan pada si pereka yang dianggap bodoh itu.
Setelah dikira dengan teliti jumlah beras yang perlu diberikan akhirnya maharaja tersedar bahawa yang bodoh adalah dirinya dan sesuatu yang pasti si pereka adalah sangat-sangat pintar. Sebabnya? Ikut formula matematik mudah kita boleh agak berapa banyak jumlah beras yang dipohon oleh si pereka itu. Kalau tak dapat kira itu bermakna IQ setaraf maharaja tadi!

Dah Biasa

Antara cerita paling best layan adalah bergenre hantu jembalang. Bukan apa makin takut makin best pulak. Kekadang boleh gelak sendiri bila mana dengar ada orang dihambat pocong kat kuburan. Masa gelak memang seronok, lupa diri semua tapi bila tersilap lalu kat tepi kuburan malam-malam buta rasa nyesal pulak sebab gelak. Dengan keadaan gelap dan nisan berceracak kalau apa-apa muncul semua dianggap hantu belaka. Tapi bebaru ni ada satu fakta yang menyatakan hantu jembalang tak suka merayau kawasan kubur tapi suka duk kat tempat-tempat tinggalan manusia yang sunyi sepi. Semua ni bukan direka cipta sesuka hati tapi disampaikan oleh sorang yang ada kebolehan melihat makhluk halus dan spesies sewaktu dengannya. Betul ke tidak wallahualam la.
Tapi yang pasti menda-menda cam gini suka berkeliaran waktu tengah-tengah malam sampai ke dinihari. Dulu ada dengar jugak kisah mak bidan kena kacau dengan polong lepas balik membidankan orang sekitar 4 pagi. Ikut cerita sang bidan dia tak sedar diikut polong ketika bermotosikal pulang sehinggalah selepas mandi dia berehat atas katil tetiba sang polong duk bertenggek kat hujung katil. Sebelum ni tak tahu pulak polong rupanya hantu versi lelaki. Semua ni dicerita sendiri secara detail oleh bidan yang masih belum pencen itu. Ikut katanya muka hantu spesies ni sangat hodoh dan dalam keadaan bertelanjang bulat pulak tu. Sesetengah orang yang lemah semangat boleh pitam pas tengok tapi si bidan ni dah biasa. Dia baca ayat sampai menda tu hilang pastu terus tidor macam biasa. Takdenya esok bangun bakar katil ataupun berkira-kira mahu pindah rumah. Berenti kerja juga tiada dalam pertimbangan sebab alah bisa tegal biasa katanya....

Sunday, November 14, 2010

Perubahan

Kisah berlaku pada zaman jakun yang mana sejarahnya tak sempat dicatatkan sebab semuanya cendekiawan pada zaman tu menulis atas pasiran pantai. Maka bila ombak membadai abis semua hasil tulisan. Buat penat tulis je. Tapi sebab tu je idea yang ada maka tiada apa boleh dibuat.
Kisahnya macam ni, negeri zaman jakun tadi diperintah sorang pembesar yang prihatin. Prihatin sebab beliau senantiasa melakukan lawatan muhibah ke jajahan takluk untuk mengambil tahu masalah rakyat setempat. Pendek kata beliau selalu menampakkan muka, bukan hanya di musim-musim pilihanraya saja macam sesetengah pemimpin zaman sekarang. Adapun nama pun zaman jakun maka semua pakat jalan kaki beramai-ramai tanpa mengenakan alas kaki. Akibat jarak yang boleh tahan jauhnya dan kemudahan LRT pun tiada maka habislah melepuh melecet semua kaki para delegasi yang menyertai. Pembesar itu sangat merasa tidak selesa dengan situasi yang terjadi. Tambah pula krim sapu tidak dijual kat mana-mana farmasi kat negeri tersebut.
Akibatnya sang pembesar tadi mendapat idea selepas sepuluh hari berfikir dengan teliti. Beliau pun mengutarakan cadangan beliau untuk mengatasi masalah yang membelenggu itu. Kepada para pembantu si pembesar mencadangkan bahawa dijadikan satu laluan sepanjang jajahan berturapkan kulit haiwan ternakan, maka semua rakyat jelata diharuskan menyumbangkan kulit haiwan masing-masing untuk merealisasikan cadangan tersebut. Semua pembantu beliau terutamanya jenis kaki ampu bersetuju dan merasakan itu adalah sebaik-baik cadangan yang pernah didengari kecuali seorang.
Si polan itu tidak bersetuju dan berdiri sambil mencadangkan daripada membuat laluan berturapkan kulit haiwan lebih molek kiranya dibuat alas kaki untuk si pembesar tadi. Maka penduduk tidaklah dibebankan untuk mengorbankan ternakan masing-masing. Pembesar terdiam seketika untuk berfikir. Walaupun berasa tercabar tapi beliau bersikap rasional pada pandangan orang lain. Lalu beliau bersetuju sambil memuji kepintaran akal pembantu itu.
Moral cerita; kalau nak mengubah sesuatu jangan paksa orang untuk berubah tapi ubah diri sendiri dahulu, itu jauh lebih mudah...

Tuesday, November 9, 2010

Babysitter

Tengahari tadi tetiba mendapat peranan menjadi babysitter secara bidan terjun. Ini bukanlah salah satu dari kerja yang diidamkan selama ini tapi takat beberapa jam rasanya tiada masalah besar. Lagipun pengalaman dengan budak dah banyak cuma belum memadai untuk bukak sebuah pusat jagaan.
Mula-mula kena layan si budak makan, nasib aku tak minat makanan manis-manis ni kalau tak mesti dah perabis semua. Pastu bawak pergi mall pulak sambil teman dia makan tengahari. Namanya pun budak, sambil-sambil tu kena dukung la, bawak pi toilet sampailah suap menyuap. Sudah makan nak naik pulak mainan bermotor yang ada patung pokemon kat depan. Yang jenis bila masuk duit dia gerak-gerak sambil mengeluarkan bunyi memalukan sampai satu mall boleh dengar. Lantaklah sambil berdiri sambil kalih muka sebab takut jumpa orang-orang yang kenal nanti disoal macam-macam malas nak menjawab. Ada jugak sorang dua jeling-jeling sambil buat muka sinis tapi aku buat-buat bodoh saja.
Pastu alang-alang sampai sana ingat nak beli barang dapur sikit, sambil usung troli sambil sumbat budak dalam troli. Konon cara tu senang sikit nak control tapi alih-alih dia nak jalan lak. Bila bagi jalan dia nak sorong troli pulak. Punya susah nak kawal takut dia langgar orang lain dan jugak barang-barang. Kan abis berterabur aku jugak yang malu.
Bila nak balik dia nak naik penimbang yang jenis riuh rendah pulak. Adusss. Pastu sebagai penutup si budak mintak beli belon yang berbentuk Ben 10 yang diikat dengan benang sambil melayang-layang tuh. Adoi, last sekali aku yang bawak bila dia tetiba tidoq!

Wednesday, November 3, 2010

Tips

Ini ada satu tips yang mungkin berguna. Jikalau anda menghadapi situasi seperti di bawah ini sila ikut langkah-langkah seperti yang dicadangkan.
Seorang kenalan lama-lama dulu yang berlawanan jantina setelah berbelas-belas tahun tak berjumpa tanpa kabar berita tetiba menghubungi anda dengan ayat-ayat 'menakutkan' sambil bertanya status anda sekarang ini (bagi yang bujang), jangan jadi lurus bendul...jawab sahaja aku dah kawin, bini tengah pregnant anak sulung...
Kalau disoal siasat lebih-lebih pandai-pandai la menjawab, ingat fakta ni, kita orang melayu memang pandai menggoreng ayat....

Sunday, October 31, 2010

Buku

Sekarang ni aku tengah berusaha habiskan pembacaan sebuah buku. Sebuah buku yang ditulis tahun 1937 dan pengarang dia telah pun meninggal pada 1955. Buku ni terjumpa secara tak sengaja semasa berkunjung ke rumah sorang rakan yang sedang mengemaskan bilik stor rumahnya. Yelah buku lama kalau tak kat library mana lagi nak jumpa selain daripada bilik stor. Aku tertarik dengan isi buku tersebut sebab sebelum ni dalam sebuah buku mengenai cara Donald Trump berfikir pengarang dia ada sebut pasal buku lama tadi. So aku agak itu adalah salah satu petunjuk untuk aku tambah ilmu lagi, maka sehari lepas baca buku Donald Trump terjumpa pulak buku tadi. Sangat-sangat kebetulan yang di luar jangkaan.
Melihatkan aku tertarik rakan tadi terus bagi pinjam. Katanya dia tak baca pun dan dia yakin takda sapa nak baca so baik aku ambik bawak balik. Lepas baca satu chapter aku mintak dia jual, dan seperti yang aku agak dia senang hati untuk bagi terus kat aku tanpa sebarang bayaran. Aku bukan kedekut tak mau beli buku tu kat kedai-kedai tapi buku yang aku jumpa tu edisi lama, kat kedai kalau ada pun mungkin edisi baru. Buku lagi tua usianya lagi ada feel untuk baca, yang baru tak sama dengan lama punya. Setiap orang ada cara masing-masing, mungkin cara aku ke arah lama punya style.
Yang menjadikan buku tu best adalah disebabkan si pengarang cuba mengubah cara manusia itu berfikir daripada perspektif yang berbeza. Senang cakap cara untuk fikir apabila berada pada kedudukan yang bertentangan. Selalunya kita berfikir untuk menjustifikasi apa kemahuan dan kehendak diri sendiri tanpa ambil kisah pandangan orang lain terlebih dahulu. Tetapi buku ini cuba membawa satu dimensi yang menongkah arus. Walaupun dah hampir 80 tahun usia dia aku rasa kandungannya masih relevan dengan situasi semasa selagi kita masih bergelar manusia.

Saturday, October 30, 2010

Pokok-Pokok

Ada orang kata jangan jadi macam rambutan 'jantan', time berbunga gempak gempita tapi satu pun tak jadi buah. Last sekali semua kering layu gugur ke bumi lepas diterbangkan angin lalu. Ibaratnya kalau manusia tu bila cakapnya sangat gah, semua menda jadi mudah tapi buatnya tak, satu habuk pun tak boleh pakai. Biasala modal air liur tak perlu bayar so apa nak kesah.
Resam buah manggis pun kena elak, yelah hidup kat dunia ni jangan lurus bendul sangat main bagitahu je semua rahsia dalam kain sampaikan berapa bilangan ulas kat dalam buah pun bukan lagi satu rahsia. Tengok aja pangsa kat bawah semua dah tahu. Sampai budak tak cukup umur pun tahu, maka ingatlah rahsia kena jaga, manusia ni tak boleh percaya sangat.
Paling banyak jadi penyakit manusia ialah macam pokok enau. Berlumba-lumba menjulurkan pucuk masing-masing dan bersaing sesama sendiri. Semuanya penting diri sendiri tanpa mengendahkan perasaan mahupun keperluan orang lain kat sekeliling. Paling bahaya untuk mendapatkan jumlah cahaya yang banyak pohon-pohon lain dijadikan sandaran untuk berpaut.
Pohon buluh pulak macam sesuai dengan budak-budak muda sekarang. Masa kecik jadi rebung, bertutup berbalut semuanya tapi bila makin besar makin togel dan seolah-olah mahu telanjang saja. Tapi takpelah at least boleh pakai buat bunuh ular saja.
Last sekali jangan ikut tebiat lalang. Tumbuh melata dengan banyaknya sampai pohon kecil lain boleh mati pastu bila angin tiup ikut meliuk lentuk sana sini. Kalau manusia ibaratnya tiada pendirian yang tetap, ikut orang semata. Persis seorang pembodek, jangan jadi macam itu, tiada nilainya pada diri sendiri.

Friday, October 22, 2010

Saiz

Aku hampir tak percaya dan nyaris-nyaris terpelocok tatkala ditegur seseorang dua tiga hari lepas. Masa tegur memang tak cam so macam biasa aku buat-buat donno sambil merenung kot-kot teringat. Bila dah ingat tu baru stat rasa heran sampai hampir pitam. Tu pun masih tak berapa pasti sebab dia yang aku kenal bukanlah sebegini. Dalam kepala aku terbayang dia ketika dulu-dulu. Seorang yang bersaiz ala-ala belon udara panas cuma bezanya dia tiada bakul yang tergantung serta tak da tulisan besar-besar untuk iklan produk kat badan dia. Lagi satu tiada sumber api dan gas juga, kalau tak dah lama mati terbakar ataupun sesak nafas sebab tersedut gas. Fizikalnya memang sebegitu. Tidak termasuk nama-nama manja yang dipalitkan tanpa rela. Antara yang masih melekat dalam kepala adalah tong ikan, tong gas, anak gajah, anak badak, mak dugong dan juga gunung Kinabalu. Siapa yang reka aku kurang pasti tapi itulah antara yang masih aku ingat.
Berbalik pada kejadian itu akhirnya terpacul tanpa sedar dari mulut "kau dah kurus"....Tanpa menjawab dia hanya tersenyum. Tapi aku sangat yakin hatinya sangat kembang dengan statement tak bertapis aku tadi. Malah aku agak lebih kembang daripada bunga kembang semangkuk yang telah terendam lama dalam sebuah mangkuk besar. Lebih kembang dari saiz badannya dulu. Menurut cerita yang disampaikan tanpa pertanyaan, dia bertekad untuk kurus bukan sebab untuk cantik tapi untuk kesihatan semata-mata disebabkan sejarah famili dia yang diwarnai dengan segala sakit kronik. Bimbang dengan keadaan yang bakal terjadi sekiranya tiada tindakan diambil dia bertekad untuk mengurangkan kapasiti lemak dalam badan walaupun cukup sedar itu bukanlah satu tugas yang mudah. Berkat kesabaran yang memang ada dalam dirinya sejak dari dahulu lagi, dia telah berjaya.
Sekarang ni pun tengok dia dah pandai bergaya. Dulu dressing dia bertemakan cadar dan alas meja sekarang sudah up-to-date. Juga dah pandai pakai high heel, kalau dulu dia pakai sah-sah tersembam bila stat jalan dua tiga langkah. Sekarang aku agak dah boleh berlari sambil pakai. Dia bagitau sekali lagi tanpa ditanya yang sekarang ni dia dah yakin pada diri sendiri, dulu rasa rendah diri sentiasa menyelubungi perasaan. Pastu disebabkan masing-masing ada hal sendiri kami pun menamatkan perbualan singkat di tepi jalan itu. Sebelum berpisah sekali lagi bayangan tong ikan kaler merah terlintas dalam kepala aku.

Thursday, October 21, 2010

Dulu

Dulu dia buat tak endah,
Tapi bila aku buat dia marah
Dulu dia kata dia mungkin salah,
Tapi aku cuba buat tak kisah
Dulu dia kata aku penting diri,
Tapi bila aku hilang pandai pula dia cari
Bila aku ke luar negeri dia kata nak makan sekali,
Bila aku dah kat sini dia lesap dengan sendiri
Dia selalu kata sorry aku tak tahu,
Bila dia tahu dia akan membisu
Dia kata akulah sahabat,
Tapi dia selalu cakap bila dah terlewat,
Dia selalu buat aku terharu
Lepas tu aku rasa tertipu
Depan aku dia buat tak peduli,
Belakang aku dia siasat sendiri
Dia jauh untuk dilihat,
Dalam hati dia dekat
Dia selalu pesan macam-macam,
Biasanya aku sendiri simpan
Dia kata tak pernah jumpa orang macam aku,
Tapi aku selalu jumpa orang macam dia dulu
Dulu dia selalu macam ni,
Sekarang aku pula dah jadi macam tu....

Wednesday, October 20, 2010

Bulat Tekad

Pak Akob telah nekad. Apa nak jadi, jadilah dia sudah tak kesah. Lagipun duit jual lembu baru-baru ni masih tidak luak. Anak-anak semua sudah besar dan ada pendapatan sendiri. Apa salahnya kali ni dia menggunakan duit itu. Lagipun sudah lama dia tidak bertemu dengan Amirul, anak bongsunya itu. Sementelah dia telah kematian isteri, hidupnya sehari-hari diisi dengan kesunyian. Tapi dalam masa yang sama dia cukup sedar, sedar yang itu semua adalah alasannya semata-mata. Alasan untuk melarikan diri seketika gara-gara terlalu malu dengan insiden minggu lepas. Insiden yang menyebabkan dia jadi bahan ejekan serata kampung.
Sampai mati pun dia takkan lupa kejadian itu. Kejadian dia melatah sambil mencarut-carut ketika khatib membacakan khutbah jumaat gara-gara terkejut dengan bunyi nyaring suara khatib yang bersemangat menyampaikan isi khutbah. Lebih malang apabila dia duduk di tengah-tengah ruang masjid. Semua jemaah yang ada memandang malah ada yang ketawa berderai. Carutannya cukup jelas sebab semasa khutbah semua orang diam. Maka yang kedengaran hanyalah bunyi Pak Akob melatah diselangi dengan carutan memalukan.
Tahap rasa malu itu sangat tinggi sehinggakan nyaris-nyaris Pak Akob pitam. Bahkan beliau sangat bernasib baik kerana tidak mati dalam kejadian itu. Malu punya pasal bunuh diri pun sanggup. Tapi kata orang benda yang lepas usah dikenang lagi. Lagipun bukan benda elok pun. Kalau kenang lagi jiwa pun jadi sasau. Biarlah kali ini beliau keluar dari negara ini sebulan dua. Dapat juga dia melawat Amirul kat Amerika sana. Tapi risau juga sebab dia sepatah haram pun tak reti speaking. Nak ambik kelas dah tak sempat sebab tak tertahan menanggung malu yang ada punya pasal. Takpelah, Pak Akob berserah pada takdir dan bertawakal. Itu saja pilihan yang dia ada buat masa ini.
Lagipun buat apa pikir lagi, tiket beribu dah berabis. Visa pun dah siap. Nak dapat visa bukan senang, nyaris-nyaris kantoi masa sesi inteviu hari tu. Ntah apa dia jawab dia sendiri kurang pasti. Agaknya permohohan diluluskan atas dasar simpati akan keadaannya yang ala-ala uzur syar'ie. Kain baju pun dah siap berbungkus dalam bagasi masa pergi haji dulu. Tunggu ketibaab tarikh yang dijadualkan saja. Kali ni beliau dah nekad, nekad untuk pergi ke Iowa, Amerika!

Monday, October 18, 2010

Confuse

Aku jadi confuse lagi untuk kali ke berapa ratus ataupun mungkin dah cecah angka ribuan. Dah tak pasti berapa kali sebab selalu sangat terjadi. Kalau kira pun buat penat. Lama-lama takut jadi mereng pulak. Lebih mudah untuk biarkan ia berlalu dengan masa. Tapi sampai bila nak biar? Apa-apa hal pun lebih baik selesaikan cepat-cepat. Nak selesaikan kena fikir dulu. Untuk masa sekarang memang tak sempat nak fikir. Dalam kepala masih ada banyak perkara nak kena buat, yang dah buat pun masih kena repair itu ini lagi. Sedangkan menda-menda baru setiap masa mengalir masuk macam air. Yang keluar hanya sikit-sikit. Kata orang kumpul sikit lama-lama jadi bukit. Kalau yang jadi bukit itu adalah duit aku pun jadi heppy. Ini yang membukit dan bakal jadi gunung itu adalah masalah semata. Nak buang tak dapat terpaksa lah kendong ke sana sini. Lagi sakit hati bila time kendong tu tak da pulak yang berciciran. Semua bagai tak luak.
Betul la kata orang. Susah betul nak pikir pasal yang satu ni. Lagi susah bila banyak pulak yang mempengaruhi keputusan. Sebab masing-masing ada kepentingan maka untuk mendapat pandangan yang adil menjadi suatu isu lain pulak. Terjadinya bias bukan lagi satu rahsia. Kalau nak tanya mereka yang tiada kaitan pun bukan suatu perkara mudah sebab kena terangkan satu persatu. Penat satu hal. Yang lagi perit bila ungkit balik semuanya dari A sampai Z. Telinga sendiri pun malas nak dengar. Dengar banyak kali boleh jadi risau. Sekarang ni satu-satunya jalan adalah diri sendiri saja. Percaya pada diri semuanya selamat. Bukan mahu jadi paranoid tapi lebih selamat macam tu daripada ambik risiko yang kelak dibimbangi akan jerat diri sendiri. Bukankah dunia ni dah jadi makin tak selamat.

Sunday, October 17, 2010

Stress

Bila sebut pasal stress semua orang tak leh lari. Orang kaya stress orang miskin pun stress. Cuma sebab musabab je tak sama. Yang miskin biasanya berkisar pada duit saja tapi bagi yang kaya sebab dia pelik sikit. Ntah apa diorang stress lagi pun tak berapa pasti. Duit berbakul, rumah sebesar alam, kereta tak main cikai-cikai punya dan takat nak pergi luar negara anytime je. Tapi masih stress jugak. Nak kata penat buat kerja-kerja rumah ada drebar, ada bibik dan ada tukang kebun. Maka tidak timbul soal itu. Misteri betul.
Tadi ada sorang akak citer dia stress. Dia memang orang kaya, belajar sampai UK, ada suami kaya, rumah besar siap dikelilingi tembok sampai tak nampak orang kat luar, pakai mercedes dan ada kerjaya yang stabil. Mulut ramah tamah dan boleh rapat dengan orang dengan cepat walaupun baru je kenal. Mungkin sebab ramah kot. Tengok gaya tak macam menyombong tapi dia kata hidup dia sangat stress sampai terpaksa ambil ubat anti depress. Nak kata risau takut husband kawin lain tak juga sebab dia kerja sekali dengan husband boleh kata 24 jam berkepit ja. Mesra bukan main meskipun usia dah lebih separuh abad.
Sebab musabab beliau stress tak lah diketahui sebab aku pun tak menanya dengan lebih mendalam. Bukan apa takut-takut aku pulak yang stress bila dengar cerita dia nanti. Lagipun kalau tengok gaya ramah silap haribulan bercerita berjam-jam. Mesti bila abis sesi cerita boleh pengsan.

Thursday, October 14, 2010

Rahsia

Ikut katanya resepi rahsia. Tapi bila cuba memang sah2 tak mahu dah. Cukuplah itu jadi yang terakhir. Eloknya diorang rahsiakan semuanya sebab kalau didedahkan pada umum tak tahu masih ada orang mahu pergi ke tak. Makin berahsia makin berminat orang untuk cuba. Manusia memang penuh dengan sifat ingin tahu, maka sila manipulasikan sifat itu untuk keuntungan. Lagipun kita hidup dalam zaman kapitalis, semuanya okay asalkan duit masuk. Makin banyak makin bagus.
Penangan kerahsiaan itulah menyebabkan aku sakit perut dan sakit kepala. Hati pun sakit juga sebab duit banyak habis. Takpelah sekarang aku dah belajar something yang bukan semua rahsia itu elok sangat untuk diketahui kekadang biarlah ia kekal rahsia saja.

Wednesday, October 13, 2010

Amuk

Ramai orang menganggap amuk itu datangnya dari budaya Melayu. Kalau pergi mana-mana muzium kat Mesia ni mesti ada lukisan yang memaparkan kejadian amuk yang berdarah. Berdarah sebab melibatkan kematian. Sekarang ni pun masih dengar kes amuk tak kira di ceruk kampung mahupun tengah kotaraya. Tapi sangat tak setuju bila kaitkan amuk dengan Melayu semata sebab kalau rajin ambik tahu apa yang berlaku kat negara luar pun tidak kurang hebatnya. Kat Amerika contohnya ramai orang mengamuk sebab tekanan. Pastu selamba pergi bunuh orang lain sama ada yang ada kaitan atau sama sekali tiada kaitan. Biasanya main tembak saja. Mati pun ramai.
Tapi kalau mengamuk bising-bising kat orang lain aku kira sangat menganggu gugat keamanan sejagat. Apa yang keluar daripada mulut pun bukan sedap untuk didengar orang lain. Takdenya orang mengamuk memuji orang yang diamuk, yang ada hanya maki hamun semata. Sebolehnya nak protes pun biarlah kat orang berkaitan saja dan jangan sesekali depan khalayak. Bukan apa nampak buruk lah. Muka masa marah sangat tiada seri lainlah kalau cucuk sana sini pastu selit susuk pulak. Lagipun tiada langsung ciri macho masa tengah mengamuk, buat orang lagi meluat adalah. Yang heppy hanya setan dan konco-konconya.

Pokok

Masa tu aku masih sekolah menengah. Kalau tak silap dalam tingkatan satu. Subjek adalah Sains. Aku masih ingat cikgu yang mengajar itu. Hari itu dia sebut pasal saling berhubungan antara spesies tumbuhan. Macam-macam cara perhubungan; ada yang menguntungkan, merugikan dan juga tidak untung serta tiada kerugian.
Rupanya pokok juga saling berinteraksi sesama mereka tapi bezanya cara mereka sukar untuk dilihat melainkan tengok dengan sepenuh perhatian. Yang paling aku ingat adalah pokok jenis efifit yang suka bertenggek kat pokok lain yang lebih besar. Contoh paling senang adalah pokok dedalu yang suka menjadikan pokok-pokok yang lebih besar sebagai habitat. Dedalu banyak ciri-ciri tak elok tapi masih wujud di sana-sini. Dulu aku pikir juga kenapa spesis macam ni pun ada, sekarang aku rasa aku dah faham. Amat faham.

Tuesday, October 12, 2010

Anugerah

Sememangnya aku dapat itu dengan mudah. Tanpa usaha keras sepertimana orang lain. Tapi apa boleh aku kata, apa mampu aku komen bilamana apa yang terjadi itu diluar pengetahuan aku? Sesungguhnya aku tidak tahu menahu ketika perkara itu berlaku tapi aku hargai segala usaha orang yang berjasa itu. Aku tahu niat beliau adalah baik, tulus dan murni. Kalau ada niat tersirat itu bukan masalah aku. Untuk apa aku bebankan kepala otak dengan memikirkan perkara yang belum tentu ada benarnya. Buat penat saja dan biarlah tenaga itu disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan. Apa-apa saja yang baik aku terima tanpa ada soalan-soalan memualkan lagi menjelikkan.
Atas sebab mudahlah aku kurang hargai. Agaknya bila aku perlu berjuang bermati-matian untuk mendapatkan itu tidaklah aku anggap semuanya remeh. Aku kena belajar untuk menghargai. Aku kena belajar untuk lebih berterima kasih. Sekarang aku sangat jelas betapa itu adalah sebaik-baik anugerah. Aku takkan lepas lagi. Sebelum ni pun aku tiada pernah lepas tapi sekadar genggam dengan ala kadar sahaja. Sekarang aku cengkam. Bimbang takut terlepas.

Lapang dada

Kalau ini berlaku pada masa lalu mungkin aku akan gelak sampai pengsan. Segala mentol-mentol berwarna warni akan dipasangkan serata ruang, biar bercahaya mengalahkan orang sambut deepavali. Mungkin beberapa malam tidak dapat tidur sebab terlalu gembira. Barangkali itu yang akan berlaku.
Tapi minggu depan aku sudah 26 tahun. Apa pekdahnya aku gelak sampai serak tekak, sampai terkehel rahang, sampai pucat lesi dan sampai ntah hapa-hapa lagi. Sebetulnya aku rasa tidak pasti apa patut aku rasa cuma aku yakin 100% aku tak sesal walau sebesar anak hama. Aku tahu semua yang berlaku bukan dengan saja-saja, semuanya ada hikmah tersembunyi. Penuh dengan rahsia Tuhan cuma kita sebagai manusia sangat jahil untuk melihat sesuatu yang tersembunyi. Biarlah, semua itu sudah lepas. Aku sambut dengan kelegaan.
Esok semuanya bermula dengan penuh pembaharuan. Sepatutnya malam ini terus mulakan terus, jangan tunggu sampai esok. Aku dah terlalu lama menunggu. Aku dah boring tapi aku tak sesekali mengalah. Aku dah selesaikan dengan berjaya. Sekurang-kurangnya itu yang aku rasakan. Orang lain nak pikir apa aku tak peduli. Sekurang-kurangnya aku masih berpegang pada prinsip. Prinsip yang membawa aku ke tahap sekarang. Jangan ingat aku akan biarkan saja. Tidak, aku bukan jenis itu.

Sunday, October 10, 2010

Rumah

Rumah seharusnya menjadi suatu tempat yang paling aman, selamat dan menenangkan bagi penghuninya. Tiada masalah kalau tempat kerja penuh dengan tekanan, masih ada rumah untuk ditujui. Sebab itu orang kata rumahku syurgaku. Tiada orang mahu menganggap rumah mereka sebagai neraka sebab tiada sorangpun manusia yang waras mahu ke neraka. Apatah lagi dah tahu tempat tu neraka masih mahu pulang ke sana setiap hari. Maka sesuai dengan tarafnya rumah kita mestilah menjadi tempat yang menjadi keutamaan, tempat yang paling dirindui.
Tidak perlu untuk dihias cantik jika tidak mampu, cukuplah bersih semata-mata. Kebersihan tidak memerlukan modal ianya hanya datang dari kesedaran. Kesedaran datang daripada hati. Tapi kalau hati sudah mati tiada gunanya lagi bercakap pasal kebersihan. Nak cakap pasal menghias lagi jauh panggang dari api. Mungkin yang paling sesuai adalah bercakap pasal lipas dan sampah.

Thursday, October 7, 2010

Sikap

Aku sama sekali tak kesal dengan tindakan aku itu. Sebab bagi aku itu adalah sebaik-baik cara yang mampu aku fikirkan. Kalau ada cara lain lagi aku sudi untuk mendengar tapi aku sangat pasti tiada lagi pilihan lain. Aku sudah tak tahan. Aku bimbang rasa simpati bertukar jadi benci. Sekarang rasa meluat makin mengambil tempat dalam hati, aku risau rasa meluat ini bakal menjadi wabak tak terbendung.
Kenapa ada manusia yang mempunyai cara berfikir sedemikian rupa? Aku sangat-sangat tidak faham dan sampai bila-bila pun aku takkan faham. Kita hidup atas muka bumi bukan segalanya mudah dan senang. Tolong belajar erti tanggungjawab, paling penting ke atas diri sendiri. Tahap kesabaran orang pasti ada hadnya. Tak guna mulut pandai bercakap tapi telinga tuli dan buta matanya. Tolonglah lebih peka pada keadaan sekeliling. Kalau itu masih gagal untuk menyedarkan aku ucapkan boleh jalan saja!
*baru lepas makan durian, badan jadi panasssss

Sunday, October 3, 2010

Friendship

Berkawan adalah sesuatu yang tidak perlu untuk diajar. Bezanya adalah cara seseorang itu menzahirkan sesebuah persahabatan. Ada yang berkawan untuk bersuka ria semata-mata tidak kurang juga hanya untuk mengisi kesunyian diri sendiri. Tetapi ada juga yang dianggap sebagai sahabat sejati yang sentiasa ada menghulurkan tangan, menadahkan telinga dan menuturkan kata-kata berguna pada masa-masa kawannya memerlukan seorang teman.
Ada yang berani komplen kawan-kawan sendiri tanpa cermin diri sendiri terlebih dahulu. Ingatlah tiada orang yang sempurna dalam dunia ini, cuma yang mampu dilakukan adalah sama-sama memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Menegur tidak salah tetapi pilihlah cara yang berhemah dan jikalau masih tidak makan teguran, ketahuilah tanggungjawab anda telah selesai.
Kawan yang baik tidak akan sekali-kali bersifat khianat. Kawan yang setia akan sentiasa ada di hati walau jauh di mata. Kawan yang sejati melakukan kebaikan di luar pengetahuan kawannya kerana yang diharapkan bukanlah pujian tetapi satu keikhlasan.
Kawan...
tak perlu hari-hari ada,
tak perlu hari-hari jumpa,
tak perlu hari-hari ingat,
tak perlu hari-hari dekat,
yang penting.......YANG PEDULI....

Friday, September 24, 2010

Kata-Kata

"Hasil kerja kamu ni pasti takkan ke mana"

Begitulah lebih kurang ungkapan berbaur puaka daripada seseorang kenalan kepada seorang saintis terkemuka semasa si saintis itu sedang gigih menyiapkan kerja-kerja akhir sebelum menguji hasil ciptaan terbarunya. Jika orang yang ringan mulut itu masih hidup sekarang ni dialah orang paling malu sekali kat dunia ini dan gelaran jakun pasti terpalit pada dirinya sehingga akhir hayat. Dan yang paling bangga tentulah si saintis yang tidak berkudis sedikit pun dengan kata-kata berbaur penghinaan itu. Hasil ciptaan itu menjadi suatu benda yang maha penting sekarang ni sehinggakan ketiadaannya boleh mendatangkan bencana kepada seluruh manusia sejagat. Ciptaan itu adalah telefon.
Telefon yang dimaksudkan ini bukanlah sebuah lagu popular masa kini yang mana klip videonya memaparkan dua ekor ayam ke melingas ke sana ke mari tanpa tujuan sehinggalah hayat kedua ekornya berakhir akibat dilanggar lori kontena ketika cuba melintas jalan berhampiran plaza tol Sungai Nyor. Lupakan lagu mengarut itu kerana ia sama sekali tidak menyumbang ke arah kemajuan diri sendiri.
Sebaliknya cuba bayangkan kalau si saintis termakan dengan kata-kata busuk di atas akibat kurang yakin pada diri. Pastilah beliau tidak akan berjaya menempa dan memahat nama beliau dalam sejarah sains dunia. Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas Thomas Edison yang mengalami 2000 kali kegagalan ketika mencipta mentol lampu. Ketika temubual dengan beliau sedang dijalankan seorang wartawan bertanya apakah perasaan beliau setelah 2000 kali gagal? Jawab beliau:

"Aku sama sekali tidak gagal, ia hanya mengambil 2000 langkah sebelum aku berjaya menciptanya, kalau aku gagal mentol lampu ini tidak akan berjaya dicipta sama sekali"

Pokok pangkalnya mereka yang berjaya bukan tidak pernah gagal tetapi mereka tidak pernah jemu belajar daripada kegagalan itu. Yang penting yakin pada diri sendiri. Orang lain boleh berkata apa sahaja tetapi terpulang pada diri kita untuk ambil peduli atau tidak. Mendengar kata-kata orang lain bukannya satu-satunya pilihan yang kita ada!

Wednesday, September 22, 2010

Bantuan

Selalunya benda-benda baik dalam kehidupan boleh dipelajari daripada pemerhatian ke atas orang lain. Perkara tak baik juga boleh diperhati tapi gunanya akal adalah untuk memperhalusi perkara buruk agar dapat dihindarkan. Semuanya saling berkaitan selagi akal digunapakai dalam keadaan serba waras. Kalau tak buat macam tu semuanya jadi bercelaru, perkara-perkara buruk semuanya dianggap baik belaka. Lama kelamaan jadilah orang tidak berguna pada diri sendiri dan juga orang lain.
Petang tadi aku balik daripada Penang atas tuntutan urusan kerja. Sesampainya sekitar kawasan gunung ganang di daerah Baling, Kedah kelihatan sorang lelaki melambai dari tepi sebuah kereta yang tersadai kat tepi jalan. Jalan masa tu memang lengang, kawasan pulak memang terpencil habis. Yang drive adalah kawan aku, lantas dia bertanya "nak tolong ke tidak?" Sebelum aku sempat menjawab dia dah berhentikan kereta. Aku memilih untuk diam sambil tangan aku mencapai wallet untuk disembunyikan kerana bimbang lelaki tadi adalah perompak.
Selepas mengerling sepintas lalu ke dalam kereta itu hati ada sedikit lega. Di dalamnya kelihatan sorang pompuan muda sarat mengandung dan sorang budak pompuan masih kecil, sekitar 4 tahun. Lega disebabkan tidak ramai pompuan sarat mengandung terlibat dalam arena penjenayahan negara. Selepas diselidiki ada bahagian yang rosak, tak dapat repair dan memerlukan alat ganti baru sebagai penyelesaian masalah itu. Lagi tambah masalah bila tiada coverage telefon di kawasan kejadian maka kami memilih untuk menghantar mereka ke kawasan yang ada coverage untuk menelefon mekanik. Dekat 20 km dari tempat u baru boleh membuat panggilan. Selepas memaklumkan pada mekanik kami menghantar keluarga itu ke sebuah kawasan R&R bagi membolehkan mereka menunggu bantuan yang akan tiba dengan lebih selesa.
Lelaki itu cuba memberi sejumlah wang tapi ditolak dengan baik. Berkali-kali dia ucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan. Dalam hati aku bersyukur bukan aku yang drive tadi. Sebabnya kalau aku yang memandu, atas sebab keselamatan diri aku takkan berhentikan kereta di tengah gunung ganang. Walaupun kejadian ini nampak kecik saja tapi telah mengubah tanggapan dalam diri aku selama ini. Betapa dalam dunia ini masih ada orang yang baik-baik. Dan salah sorangnya berada di sekitar aku. Juga betapa aku mengharapkan aku akan jadi seperti itu juga. Dan aku juga telah sedar 'tiada alasan untuk tidak membantu'...

Friday, September 17, 2010

Penangan Raya

Kadang-kadang aku rasa agak pelik dengan corak kehidupan majoriti umat Melayu. Banyak sangat adat dan pantang larang yang pada aku pelik-pelik semuanya. Belum masuk lagi yang suka berkawan dengan hantu setan, bela toyol, pelesit serta hantu raya. Bebaru ni ada dengar cerita ada saka nenek moyang ikut pewaris sampai ke UK. Sudahnya ramai kena penangan gangguan sang saka itu, yang lebih ajaib adalah semua mangsanya terdiri daripada kaum Melayu semata. Kelompok mat saleh, negro, pakistan adalah terkecuali walaupun tinggal berjiran dengan keluarga yang ada saka itu. Mungkin si saka takut tengok badan diorang besar-besar lagi tinggi, tak pun saka itu tak reti speaking maka susahlah nak merasuk sampai mereka meracau-racau.
Bila sambut raya pun Melayu sangat hebat. Daripada bergaduh laki bini nak balik raya sampailah tragedi kematian sebab balik raya semuanya ada. Tukar perabot, langsir dan baju raya berkelipan mengalahkan mentol lampu malam tujuh likur dah jadi sangat stereotaip. Berebut tiket balik raya dipakejkan dengan kemunculan mengejut ulat-ulat jual tiket, tak boleh lari semua ni. Tiap-tiap tahun mesti ada. Kat TV pulak tiap-tiap hari raya semua pakat tayang citer semaksima mungkin. Kalau tengok semua pasti bijik mata terkeluar dari soket. Citer-citer bergenre seram mengarut yang tak da kaitan sama sekali dengan raya turut dihidangkan secara maraton daripada raya pertama sampai raya kelapan. Di tahun-tahun mendatang mungkin tayang sampai sebulan penuh bulan syawal. Produser filem pulak pakat berebut untuk slot tayangan masa raya sebab musim-musim macam inilah boleh jana duit. Rupanya trend sekarang bila raya orang pakat serbu pawagam. Dimeriahkan lagi pulak dengan iklan-iklan raya daripada syarikat-syarikat multinasional yang rata-ratanya sangat plastik. Yang betul-betul sampai mesejnya boleh kira dengan jari sebelah tangan. selebihnya boleh buang dalam parit untuk diperhanyut ke laut lepas.
Beberapa hari sebelum raya suasana sangat-sangat luar biasa. Semua pakat sibuk memborong sana sini. Lailatulqadar entah ke mana silap-silap puasa-puasa yang akhir kena qada ke tahun depan. Kalau ada masa boleh tengok keadaan pasar sehari sebelum raya semuanya penuh dengan umat manusia yang berebut beli persiapan terakhir sebelum raya. Harga belakang kira, masa tu semua jadi pemurah yang tak kisahkan soal harga asalkan dapat barangan. Tiap-tiap tahun keadaan tak banyak berubah yang tak sama hanyalah berat badan sebelum dan selepas raya. Kepada para penyakit kronik, diucapkan selamat datang...seiring dengan para tetamu sekalian.

Thursday, September 16, 2010

Hujan

Dua tiga hari ni bumi tempat aku bermukim telah disimbahi air hujan dengan agak kerap. Keadaan tidak seperti ketika baru-baru aku pulang ke negara ini lebih kurang sebulan yang lalu. Masa itu keadaan sangat panas dan kering. Mungkin sekarang ni di tengah-tengah keberkatan syawal yang masih lagi terasa di sana sini. Apa yang paling aku suka ketika hujan turun adalah bau harum yang turut di bawa air yang sedang jatuh mencurah. Baunya sangat menyegarkan dan sama sekali tidak sama dengan bau sumber-sumber air yang lain seperti sungai, laut dan tasik. Disebabkan itu setiap kali berpeluang aku akan buka tingkap semasa hujan turun agar bau yang tersebar dapat meresap masuk.
Memori ketika hujan bukan setakat ambil bau semata-mata, ianya jauh lebih daripada itu. Dahulu tatkala musim tengkujuh keadaan tidak sama macam sekarang. Sebaik sahaja hujan berhenti boleh tengok anak-anak ikan berenang dalam lopak yang terhasil akibat hujan. Ada pulak kura-kura merangkak pelan-pelan mencari jalan pulang lepas hanyut terkeluar dari air parit. Kadang-kadang ada beberapa ekor mati kena langgar kereta semasa cuba melintas jalan. Yang bernasib baik ada orang tolong angkat dan hantar ke seberang sana. Celah-celah alur pulak boleh nampak ikan laga yang warna warni berenang-renang. Budak-budak apa lagi terus ambil peluang tangkap sebanyak mungkin. Bagi yang datang lambat tinggal yang tak berapa cantik, yang lawa-lawa semua kena rembat untuk dibawa berlagak dengan kawan-kawan.
Masa itu jugalah para guru kat sekolah-sekolah sibuk bawak akuarium kat kelas-kelas mereka untuk diisi dengan pelbagai jenis ikan yang ditangkap murid masing-masing. Sang katak turut ambil peluang melolong sana sini sambil bertelur. Selang beberapa hari muncul pula kawanan berudu yang turut ditangkap kanak-kanak yang hanya bertujuan untuk berseronok. Biasanya isi dalam botol-botol ubat lama untuk diperhati.
Sekarang ini tanpa sedar semua itu sudah tiada. Tiada lagi anak-anak ikan dalam lopak. Bangkai kura-kura yang bersepai dirempuh kereta juga tidak lagi dapat dilihat. Parit yang dahulunya banyak melata semua sudah dikambus bagi laluan pembinaan rumah, balai raya dan jugak kedai-kedai seiring dengan kepesatan pembangunan. Hujan pun sudah tidak selebat dahulu, keadaan juga tidak sedingin ketika itu. Jangan dicari ikan-ikan laga dalam alur semuanya boleh didapati di kedai-kedai ikan hiasan. Alur-alur juga sudah digantikan dengan longkang-longkang dengan alasan memperkemaskan sistem saliran. Semua sudah berubah, seiring dengan perubahan masa.

Raya Lagi

Sekarang ni musim raya. Kemuncaknya adalah pada satu syawal yang dah beberapa hari berlalu pergi. Tiga empat hari sebelum dan selepas satu syawal aku seolah-olah menetap di negara bergolak dengan kejadian letupan sana sini adalah sesuatu yang sangat-sangat biasa. Mercun sekarang ni bukan lagi macam dulu, bunyinya mengalahkan bom. Jenis-jenis mercun pun aku dah tak tahu sangat. Yang paling hebat dengar cerita main sampai orang melayang atas pokok tersangkut kat celah-celah dahan. Lagi power bila rumah meletup tak tinggal apa, hanya bara yang berterabur sana sini. Hebat!! Agaknya mercun jenis ular dan bawang orang dah letak dalam muzium. Jadi artifak sejarah yang menyimpan cerita betapa pada zaman dahulukala mercun merupakan sesuatu yang sangat selamat dan mesra pengguna.
Hari raya berlalu dengan pelbagai cerita. Paling menarik bila dengar cerita kawan-kawan sebaya. Yang dah kawin lebih ramai daripada yang bujang. Beranak pinak dah jadi acara tetap tahunan. Lagi haru dengar ada yang dah kena cerai dengan laki, kena tinggal dengan bini dan ada yang dah kena madu! Yang dapat cucu takat ni belum dengar lagi. Mungkin kena tunggu beberapa tahun lagi baru ada. Lebih dasat bila dengar dah ramai yang sakit. Penyakit pulak pelbagai jenis, ada yang jenis misteri, sakit keturunan sehinggalah obes melampau sampai perlukan tongkat.
Dari segi penampilan pulak macam tak caya pun ada. Yang pompuan dulu pakai tudung mengalahkan ninja sekarang dah jadi Lady Gaga. Dulu tersentuh sikit-sikit batal air semayang sekarang siap main salam-salam, air semayang entah ke mana. Yang dulu suara ala-ala tak keluar sebab jaga aurat sekarang main jerit macam kena histeria. Dulu tak mahu naik motor takut kain sekolah terselak sekarang dah pandai buat aksi superman. Yang paling best dulu badan macam papan sekeping sebab jaga makan sekarang macam dipam-pam sebab lebih makan. Bagi yang lelaki dulu paling macho, jadi kegilaan budak pompuan dan golongan pondan sekarang besor macam anak jin. Agaknya masing-masing bahagia sebab ada bini jaga selain seronok dapat anak-anak yang bercempera sana sini.
Apapun kat ceruk mana pun umat manusia ada golongan bizi body tak pernah miss untuk turut sama memeriahkan muka bumi. Gosip-gosip hangat semuanya dalam tangan. Musim perayaan dianggap satu bonus sepanjang zaman sebab boleh jumpa banyak orang untuk jaja cerita yang belum pasti tahap kebenarannya. Bagi golongan jenis ni musim-musim raya paling kurang boleh tambah beberapa kontena dosa kering dan juga basah ke dalam stok simpanan yang dah beberapa gudang sebagai simpanan hari pengadilan nanti. Dengar boleh tapi lepas tu cepat-cepat lupakan. Bukan apa, takut dikata menyombong pulak kan tak pasal-pasal boleh jadi modal cerita untuk diorang jaja.

Sunday, September 5, 2010

Puasa

Bulan puasa tahun ni dah hampir sampai ke penghujung. Untuk rekod, cara aku berpuasa kali ini sangat pelbagai.

*Berpuasa kat UK. Sekarang ni summer, pukul 9 pm baru boleh bukak puasa. Nasib baik beberapa hari je, kalau sebulan berpuasa kat sana sebelum ramadhan depan jenuh la aku ganti posa...mungkin jugak kena bayar fidyah....
*Bukak posa dalam kapal terbang. Yang ni agak perit sebab depa anta makanan bukak ikut sesedap rasa orang request...kena ikut jadual, so kena tunggu dekat2 sejam baru boleh makan
*Bukak posa kat tepi pantai...sesudah acara makan terus pergi memborong sampai tengah malam, masa kejadian status adalah musafir, maka boleh solat jamak....esoknya tak bangun sahur sebab penat gila
*Bukak posa dalam kereta di tengah-tengah lebuh raya Jeli - Gerik, sebab tak jumpa kedai terus drive sampai Tanah Merah dan berhenti makan kat sana

Untuk tahun ini ramadhan rasanya sangat sekejap berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya....

Monday, August 30, 2010

Hati

Orang kata mulut manusia pandai menipu, menafi dan segala perkataan yang sama maksud dengannya tetapi tidak bagi hati. Apa-apa yang benar dalam hati masing-masing lebih arif. Masalahnya kadang-kadang mulut mendapat kemenangan dalam persaingan sebuah kebenaran akibat kelicikan mulut memesongkan akal. Bila akal terpesong hati tak dapat buat apa-apa pun, sekadar tengok dan tunggu. Tunggu bila akal mendapat hidayah untuk sebuah kebenaran yang memang terbentang di depan mata sepanjang masa. Bila masanya akan tiba itu semua menjadi satu persoalan yang hanya terjawab dengan masa.

*Hati bukan kristal sebab ia jauh lebih rapuh daripada itu

Tuesday, August 3, 2010

Jackpot


Hari ni ada dua perkara mengembirakan berlaku. Yang utamanya mestilah lab work aku dah habis secara rasminya. Maksudnya segala penat lelah selama tiga tahun lebih dah berbaloi. Lepas ni kalau ada rasa nak quit lagi aku akan tampar diri sendiri supaya lebih sedar dan waras. Maka keputusan aku untuk keluar negara selama berbulan-bulan sangat tepat dan bernas. Kalau tindakan itu tidak diambil entah bila semua kerja akan siap, mungkin sampai sudah pun tak siap agaknya. Dan aku sama sekali tidak lupa pada jasa-jasa mereka yang membolehkan semua ini terjadi dengan jayanya. Semoga semuanya tersemat kukuh sehingga penghujung hayat.
Dan perkara keduanya aku dapat JACKPOT!!!!

*Dah ada target - baru dia tahu tahap kedegilan aku!






Friday, July 30, 2010

Semak dan Bunga

Last week aku mengharungi hari-hari yang sukar. Kerja asyik tak menjadi, plan jadi porak peranda. Tak tahu mana silapnya sampai jadi blur. Dalam kepala keadaan macam ditumbuhi semak samun sana sini. Lagi-lagi kat celah semak samun itu ada pulak beberapa ekor lembu kambing yang berkeliaran memberak di sana sini.
Tapi hari ni semak samun dah jadi taman bunga. Berhias cantik lagi. Lembu kambing semua dah balik kandang masing-masing, yang takde kandang dah pergi tidur tepi jalan. Yang gantinya arnab berlari-larian. Pendek kata sungguh nyaman dan indah.
Sungguh indah bila semua kerja menjadi!!

Thursday, July 29, 2010

Orang Gila

Agaknya penduduk bandar besar banyak tekanan. Buktinya makin ramai orang gila berkeliaran. Dalam minggu ni saja aku dah jumpa lima enam orang gila. Kebiasaannya jumpa masa naik pengangkutan awam. Petang tadi jumpa masa naik bas, masa naik okay tapi bila bas jalan dia stat cakap sorang-sorang dengan suara memekik. Ada sorang budak kecik ketawa berdekah tengok orang gila itu tapi lepas mak dia tarik telinga budak tu diam.
Masa hujung minggu ada orang gila naik subway, dia libas surat khabar dalam train. Sorang mak cik ni gatal mulut pergi marah pastu mak cik tu kena kejar. Menonong mak cik pertengahan umur tu lari kena kejar sambil usung pokok bunga yang baru beli. Aku yang menyaksikan kejadian kontrol dari gelak besar sebab takut dicop gila oleh masyarakat setempat.
Dua hari lepas ada pak cik tua yang tak berapa betul jugak. Tengok cara pakai pun dah boleh agak. Sebab orang biasa takkan pakai topi bunga-bunga yang budak pompuan tabika pakai masa buat aktiviti luar. Bau badan jangan citer la, busuk gila macam lori sampah tak basuh sebulan.
Semalam ada sorang pak cik tua jugak yang disuspek gila. Kali ni dalam trem pulak. Dijelirnya lidah kat semua orang yang dekat dengan dia sambil mencarut dalam bahasa German. Nak kata lidah terjelir sebab dahaga tak berapa tepat. Maklumlah sekarang ni summer, panas lak tu tapi tak da sampai terjelir sana sini. Dah tu pulak sepanas manapun cuaca takdenya orang mencarut kuat-kuat depan public. So dia dijatuhtarafkan sebagai gila @ kurang siuman.
*So far x jumpa lagi Viennese yang kena gila babi depan khalayak...

Wednesday, July 28, 2010

Hari Jumaat Pukul 3

Lab mate aku bangsa Itali. Nama dia Valentine. Seindah namanya begitulah orangnya, sorang yang ramah mesra dan 'hebat'. 'Hebat' sebab inilah kali pertama dalam sejarah hidup aku tengok orang menonggeng arak dalam lab. Stok dia berkotak-kotak, dalam setiap kotak ada sedozen botol lebih kurang, macam-macam brand ada. Kalau mata melingas kiri kanan dapat tengok menimbun botol kosong dan tudung botol yang merata-rata kat segenap ceruk. Punyalah teguk macam air mineral, sekali harung berapa botol boleh habis. Tak cukup dengan itu, rokok berkotak-kotak simpan buat stok. Sekali hembus boleh buat asap bentuk 'O'.Nasib merokok tak dibenarkan dalam lab maka aku selamat daripada kelemasan. Selain daripada itu, dia jugak kuat makan. Makanan simpan dalam peti ais lab berserta dengan segala jenis bahan kimia. Aku dapat rasa dia ni takkan hidup lama. Koman-koman kena kanser pada dekad berikutnya berdasarkan gaya hidupnya yang 'sehat'.
Dipendekkan citer hujung minggu lepas dia balik ke Itali. Hari ni seperti dijanjikan dia menjelma kembali. Tetap ceria dan mesra seperti sebelumnya dia masuk lab. Tanpa diduga dia berkata:
"Jom join kami minum wine"
Aku yang tergamam tanpa sedar menjawab:
"bila tu?"
Bila dia kata hari jumaat pukul 3 bertempat di luar lab, aku terus plan nak memonteng lab pada masa yang dinyatakan tadi. Tak kuasa la nak join kegiatan tak bermoral macam tu. Sebelum balik dia remind suruh jemput orang lain lagi sedangkan aku memang takkan menyebarkan jemputan untuk mengelakkan dapat saham dosa percuma.
*Tak bermoral...

Sunday, July 25, 2010

Tuesday, July 20, 2010

Summer Lagi

Aku dah tak paham dengan cuaca kat sini. Semalam membahang selagi ada ruang, kat celah-celah mana menempel pun panas. 36 degree, tu dia -bukan 32-33 dah tapi mencecah 40! Hari ni tup-tup jadi 17 degree dengan disertai angin kencang yang sejuk dia bukan tahap biasa. Angin kuat sampai bangunan bergoncang, kalau kat Malaysia mesti dah dengar azan sana sini. Begitu drastik cuaca bertukar tapi apapun tak da masalah sangat dengan keadaan dingin macam sekarang sebab kalau bandingkan keadaan masa winter adalah -15 degree. Tu lagi azab. Dan seperti biasa disertakan sekali angin sebagai pakej.
Kalau sebelum ni angin panas adalah disebabkan bertiup dari benua Afrika, kali ni angin sejuk asalnya dari Scotland. Bila dengar berita pasal asal usul angin ni nak tergelak pun ada. Ntah betul ntah tidak. Tapi serius Vienna masa summer ni sangat la penuh dengan orang yang rata-rata pegang map. Semua tourist. Area city centre memang tak ada ruang dah semua dipenuhi umat manusia yang ntah datang dari mana. Sangat meriah. Tapi sebab ramai sangat orang jadi malas nak keluar, lainlah kalau ada hal yang memerlukan untuk keluar. Baik buat kerja sampai habis, ambik peluang keadaan yang ideal dan tenang sekarang ni dengan sebaiknya.
*dah tiga kali mimpi balik Mesia dan tiap kali tulah akan panik sebab kerja tak siap lagi dah balik!!Ciss!!

Friday, July 16, 2010

Vienna & Summer




Sejak sampai kat Vienna beberapa minggu lepas baru hari ni ada kelapangan untuk menulis. Sebelum ni kena ambik masa untuk bertapa menulis tesis sambil membuat kerja-kerja dekat kampus. Sekarang ni tengah summer, senang citer musim panas. Musim yang siang panjang tempohnya dan yang pasti keadaan lebih hangat dari biasa. Gambar kat atas adalah pemandangan dari tingkap hostel sekitar 9 malam, baru nak menginjak maghrib. Subuh pukul 2.30 pagi, so kalau tak solat sebelum tido gerenti babai sebab sunrise area pukul 4 lebih.
Bagi sesapa yang pernah datang Vienna pada masa winter confirm tak percaya tempat ni akan jadi sebegini panas. Panas membahang sekitar 36 degree, di tambah keadaan kering menyebabkan keadaan tidak berapa selesa. Bangunan pulak kebanyakan tiada aircond, yang ada hanyalah heater. Kalau winter baru ni adalah yang paling sejuk dalam tempoh sedekad, summer kali ni adalah yang terpanas dalam beberapa dekad.
Vienna untuk tahun ni adalah bandar paling berkualiti untuk tinggal kat dunia ni, nombor dua Zurich dan ketiga Geneva, keduanya kat Switzerland, negara yang aku sangat2 berkeinginan untuk menjejakkan kaki. Beberapa tahun lepas Vienna duk nombor tiga sekarang dah jadi johan. Antara kriteria pemilihan adalah pengangkutan awam yang sempurna, air yang bersih dan jenayah yang rendah. Semua ni aku sangat setuju. Kiranya rasa selamat duduk kat sini kalau ada kekacauan pun hanyalah dari orang-orang mabuk pada malam-malam minggu. Ranking KL jangan citer sebab yang pasti mesti duduk pada kedudukan corot.
Sini selain masalah bahasa yang lain boleh dikatakan okey. Cuma rajin2 la bukak kamus German untuk lebih faham.
*Sedang berkira-kira untuk ke Berlin, naik bas 9 jam, 50 euro pergi balik...tapi dah plan nak pergi Scootland sebelum balik Malaysia, pening2

Wednesday, June 30, 2010

Terbang

Esok pagi-pagi lagi dah kena bangkit. Masanya adalah sekitar 4 pagi, cuma agak bernasib baik pada ketika itu matahari dah mula menampakkan sinarnya. Kalau gelap gelita kebarangkalian nak terlajak tidur begitu tinggi. Flight dari London ke Stuttgart adalah pada pukul 8 pagi. Perjalanan ke London ambil masa sekitar dua jam lebih kurang. Stuttgart letaknya kat Germany, dari sana ambik flight ke Austria pulak. Maka seperti sebelum ni, aku kembali pada rutin seorang researcher. Kembara kat UK ni stop sampai kat sini. Dari Leeds-Manchester-London-Newcastle-Norwich-Norfolk-Sandringham-Great Yarmouth sehinggalah berakhir di Cambridge. Dah lenguh kaki, dah terbakar kulit sebab sekarang ni panas gila. Perancangan sekarang berkira-kira untuk balik selepas raya. Itupun kalau bos kat Vienna sudi nak sponsor. Kalau segalanya berjalan lancar lepas raya baru balik. Kalau tak berapa lancar balik tengah bulan Ogos. Bila-bila pun tak kisah.

Cambridge












Saturday, June 26, 2010

Cerita

Cerita di bawah tidak akan menggunakan ayat-ayat sindiran maka bagi yang mengalami masalah perkembangan otak kali ini anda selamat.

Cerita Satu

Seorang ANAK DARA sangat tidak manis untuk berkeliaran, duduk membatu ataupun lalu lalang dalam satu ruang kecil dengan seorang yang BUKAN MUHRIM. Tambahan pula waktu tengah-tengah malam sekitar pukul 12 lagipun itu adalah waktu untuk orang normal tidur. Lagipun sanggup berjaga sampai larut malam bukanlah untuk bermuhasabah, mengaji, solat sunat ataupun buat kerja sekolah tetapi semata-mata untuk tengok drama kantonis Taiwan yang tajuknya ada perkataan Prince dan juga Frog. Tajuk penuh tak pasti sebab tiada keperluan untuk tahu. Takkan la benda sebegini asas pun wajib diajar setiap hari sedangkan telah dikurniakan otak yang sempurna. Maka apabila diberitahu supaya beredar orang yang dimaksudkan sepatutnya rasa malu pada diri sendiri kalaupun tidak pada orang lain.

Cerita Dua

Menyanyi dengan kuat di depan orang lain bukanlah satu perbuatan yang manis jauh sekali dirahmati. Apatah lagi dilakukan oleh seorang ANAK DARA. Semua orang ada henset, masing-masing boleh cucuk earphone dan dengar lagu. Tapi sebab terlalu asyik sampai terikut menyanyi sekali dan diselang seli dengan bunyi menyedut hingus gara-gara dijangkiti selsema. Bukan sekali sekala tetapi dan mencecah beberapa lagu. Tambah-tambah di depan beberapa orang lain yang sememangnya bukan saudara mara dan tidak juga rakan taulan. Maka apabila disuruh diam aku tak rasa tindakan itu adalah perbuatan biadab yang menjatuhkan maruah orang yang dimaksudkan kerana tingkah laku yang disebutkan di atas secara automatiknya telah meletakkan maruah seseorang itu di atas seliparnya sendiri.


***Bagi orang Islam aurat itu kena jaga. Selain itu tingkah laku mestilah beradab. Maruah seseorang perempuan sepatutnya diletakkan pada tempat tertinggi. Dan penting untuk tahu bukan semua orang jenis tak kisah. Ramai je yang kisah. Kalau aku jenis tak kisah takda la kau kena sound kan. So sila berpada-pada di hari muka, bukan untuk aku ataupun orang lain tapi semata-mata untuk sesuatu yang dipanggil MARUAH DIRI. Terima kasih.
***Pesanan ikhlas; Bagi pengidap sindrom perkembangan otak terganggu sila buat temujanji dengan steno Jabatan Neurosains, HUSM.


Sandringham





Friday, June 18, 2010

Rare Breed Farm







Lavender Farm







Kisah Dunia

Bagi sesiapa yang mahukan hidup yang indah-indah dan penuh dengan warna warni tolong jangan terpalit walaupun sedikit dalam dunia research. Untuk orang-orang jenis itu taman tema lebih sesuai. Dunia research ataupun sesuatu yang melibatkan akademik ni sangat-sangat la mencabar. Kalau takda sifat sabar dah lama balik tutup buku dan peram atas para. Biar jadi pekasam. Takpun simpan je jadi khazanah, sebagai satu tanda yang satu masa dulu pernah belajar tapi stop separuh jalan.
Itu belum kira lagi dengan ragam-ragam manusia dalam dunia yang 'gah' ini. Rata-rata semua educated tapi itu belum menjamin kelakuan yang terpuji malahan lebih hampir dengan kekejian. Macam kat sini famili melayu tak ramai tapi yang kelakar perang sana-sini sesama bangsa sendiri. Umpatan, fitnah ditabur dengan senang hati tak termasuk lagi jenis suka jaga tepi kain orang. Sangat musykil macam mana orang-orang jenis ini 'terlepas' ke luar negara.
Yang lebih memeritkan adalah untuk menghabiskan research. Penat letih toksah citer. Lebih haru kalau macam-macam masalah kena hadapi, ada yang berkaitan tak kurang juga yang tak berkaitan. Satu-satunya senjata adalah kekuatan diri yang datang entah dari mana.Mungkin dari pengalaman-pengalaman perit sejak terlibat dalam kancah sebegini.

*can't see but can feel