Psikologi biasa untuk sorang manusia, bila dah capai ke tahap 'comfort zone' seolah-olah pertimbangan untuk pilihan lain seakan terhijab. Hidup dirasakan terjamin maka untuk apa bersusah payah memikirkan perkara-perkara lain yang belum tentu menjanjikan apa-apa secara pasti. Lebih baik teruskan apa-apa saja yang ada, bukankah itu lebih baik? Lagipun kehidupan ini penuh dengan risiko jika silap percaturan kesannya bukan sedikit malah boleh mengakibatkan perjalanan tersasar jauh dari landasan asal.
Tapi sejauhmana kita tahu pilihan yang ada merupakan yang terbaik? Tiada siapa pun boleh memberi jawapan yang pasti. Rasanya tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru, siapa tahu itu merupakan perkara yang jauh lebih baik. Bukan satu kesilapan ataupun dosa sekiranya apa yang dicuba tidak menjadi seperti yang dirancang tapi adalah silap sekiranya sama sekali tidak mencuba. Lagipun itu semua bergantung pada diri sendiri cuma jangan sesekali dilupa pada Yang Maha Esa. Hidup tanpa sebarang kesilapan adalah tidak normal. Yang paling penting belajar dari kesilapan dan jadikan ianya satu panduan. Tidak mengapa untuk melalui saat-saat yang teruk kerana tanpanya kita tidak akan mengetahui perasaan sedemikian. Bila tidak tahu bagaimana untuk memahami satu keperitan?
J.K Rowling yang menulis siri Harry Potter dikala membuat keputusan untuk menamatkan siri tersebut pernah ditanya adakah beliau gusar sekiranya gagal menyerlah sebaik siri tersebut ditamatkan menjawab beliau sama sekali tidak bimbang. Keputusan untuk menamatkan adalah kerana rasa sayangnya pada siri tersebut. Dan sekiranya karya seterusnya gagal menyaingi kehebatan Harry Potter itu tidak menjadi masalah kerana ia adalah dua perkara yang sama sekali tidak berkaitan. Kita selalu bimbang apa yang bakal kita lakukan tidak sehebat apa yang dilakukan sekarang tetapi kita selalunya tidak sedar, sekurang-kurangnya kita telah diberi peluang untuk jadi hebat maka janganlah kita hidup dalam kerisauan kerana lebih elok untuk hargai apa yang telah kita ada. Dan penting untuk mengatahui hargai apa yang kita ada bukanlah suatu kekangan untuk mencuba sesuatu yang baru.
No comments:
Post a Comment