Pak Akob telah nekad. Apa nak jadi, jadilah dia sudah tak kesah. Lagipun duit jual lembu baru-baru ni masih tidak luak. Anak-anak semua sudah besar dan ada pendapatan sendiri. Apa salahnya kali ni dia menggunakan duit itu. Lagipun sudah lama dia tidak bertemu dengan Amirul, anak bongsunya itu. Sementelah dia telah kematian isteri, hidupnya sehari-hari diisi dengan kesunyian. Tapi dalam masa yang sama dia cukup sedar, sedar yang itu semua adalah alasannya semata-mata. Alasan untuk melarikan diri seketika gara-gara terlalu malu dengan insiden minggu lepas. Insiden yang menyebabkan dia jadi bahan ejekan serata kampung.
Sampai mati pun dia takkan lupa kejadian itu. Kejadian dia melatah sambil mencarut-carut ketika khatib membacakan khutbah jumaat gara-gara terkejut dengan bunyi nyaring suara khatib yang bersemangat menyampaikan isi khutbah. Lebih malang apabila dia duduk di tengah-tengah ruang masjid. Semua jemaah yang ada memandang malah ada yang ketawa berderai. Carutannya cukup jelas sebab semasa khutbah semua orang diam. Maka yang kedengaran hanyalah bunyi Pak Akob melatah diselangi dengan carutan memalukan.
Tahap rasa malu itu sangat tinggi sehinggakan nyaris-nyaris Pak Akob pitam. Bahkan beliau sangat bernasib baik kerana tidak mati dalam kejadian itu. Malu punya pasal bunuh diri pun sanggup. Tapi kata orang benda yang lepas usah dikenang lagi. Lagipun bukan benda elok pun. Kalau kenang lagi jiwa pun jadi sasau. Biarlah kali ini beliau keluar dari negara ini sebulan dua. Dapat juga dia melawat Amirul kat Amerika sana. Tapi risau juga sebab dia sepatah haram pun tak reti speaking. Nak ambik kelas dah tak sempat sebab tak tertahan menanggung malu yang ada punya pasal. Takpelah, Pak Akob berserah pada takdir dan bertawakal. Itu saja pilihan yang dia ada buat masa ini.
Lagipun buat apa pikir lagi, tiket beribu dah berabis. Visa pun dah siap. Nak dapat visa bukan senang, nyaris-nyaris kantoi masa sesi inteviu hari tu. Ntah apa dia jawab dia sendiri kurang pasti. Agaknya permohohan diluluskan atas dasar simpati akan keadaannya yang ala-ala uzur syar'ie. Kain baju pun dah siap berbungkus dalam bagasi masa pergi haji dulu. Tunggu ketibaab tarikh yang dijadualkan saja. Kali ni beliau dah nekad, nekad untuk pergi ke Iowa, Amerika!
No comments:
Post a Comment