Kadang-kadang aku rasa agak pelik dengan corak kehidupan majoriti umat Melayu. Banyak sangat adat dan pantang larang yang pada aku pelik-pelik semuanya. Belum masuk lagi yang suka berkawan dengan hantu setan, bela toyol, pelesit serta hantu raya. Bebaru ni ada dengar cerita ada saka nenek moyang ikut pewaris sampai ke UK. Sudahnya ramai kena penangan gangguan sang saka itu, yang lebih ajaib adalah semua mangsanya terdiri daripada kaum Melayu semata. Kelompok mat saleh, negro, pakistan adalah terkecuali walaupun tinggal berjiran dengan keluarga yang ada saka itu. Mungkin si saka takut tengok badan diorang besar-besar lagi tinggi, tak pun saka itu tak reti speaking maka susahlah nak merasuk sampai mereka meracau-racau.
Bila sambut raya pun Melayu sangat hebat. Daripada bergaduh laki bini nak balik raya sampailah tragedi kematian sebab balik raya semuanya ada. Tukar perabot, langsir dan baju raya berkelipan mengalahkan mentol lampu malam tujuh likur dah jadi sangat stereotaip. Berebut tiket balik raya dipakejkan dengan kemunculan mengejut ulat-ulat jual tiket, tak boleh lari semua ni. Tiap-tiap tahun mesti ada. Kat TV pulak tiap-tiap hari raya semua pakat tayang citer semaksima mungkin. Kalau tengok semua pasti bijik mata terkeluar dari soket. Citer-citer bergenre seram mengarut yang tak da kaitan sama sekali dengan raya turut dihidangkan secara maraton daripada raya pertama sampai raya kelapan. Di tahun-tahun mendatang mungkin tayang sampai sebulan penuh bulan syawal. Produser filem pulak pakat berebut untuk slot tayangan masa raya sebab musim-musim macam inilah boleh jana duit. Rupanya trend sekarang bila raya orang pakat serbu pawagam. Dimeriahkan lagi pulak dengan iklan-iklan raya daripada syarikat-syarikat multinasional yang rata-ratanya sangat plastik. Yang betul-betul sampai mesejnya boleh kira dengan jari sebelah tangan. selebihnya boleh buang dalam parit untuk diperhanyut ke laut lepas.
Beberapa hari sebelum raya suasana sangat-sangat luar biasa. Semua pakat sibuk memborong sana sini. Lailatulqadar entah ke mana silap-silap puasa-puasa yang akhir kena qada ke tahun depan. Kalau ada masa boleh tengok keadaan pasar sehari sebelum raya semuanya penuh dengan umat manusia yang berebut beli persiapan terakhir sebelum raya. Harga belakang kira, masa tu semua jadi pemurah yang tak kisahkan soal harga asalkan dapat barangan. Tiap-tiap tahun keadaan tak banyak berubah yang tak sama hanyalah berat badan sebelum dan selepas raya. Kepada para penyakit kronik, diucapkan selamat datang...seiring dengan para tetamu sekalian.
No comments:
Post a Comment