Friday, September 24, 2010

Kata-Kata

"Hasil kerja kamu ni pasti takkan ke mana"

Begitulah lebih kurang ungkapan berbaur puaka daripada seseorang kenalan kepada seorang saintis terkemuka semasa si saintis itu sedang gigih menyiapkan kerja-kerja akhir sebelum menguji hasil ciptaan terbarunya. Jika orang yang ringan mulut itu masih hidup sekarang ni dialah orang paling malu sekali kat dunia ini dan gelaran jakun pasti terpalit pada dirinya sehingga akhir hayat. Dan yang paling bangga tentulah si saintis yang tidak berkudis sedikit pun dengan kata-kata berbaur penghinaan itu. Hasil ciptaan itu menjadi suatu benda yang maha penting sekarang ni sehinggakan ketiadaannya boleh mendatangkan bencana kepada seluruh manusia sejagat. Ciptaan itu adalah telefon.
Telefon yang dimaksudkan ini bukanlah sebuah lagu popular masa kini yang mana klip videonya memaparkan dua ekor ayam ke melingas ke sana ke mari tanpa tujuan sehinggalah hayat kedua ekornya berakhir akibat dilanggar lori kontena ketika cuba melintas jalan berhampiran plaza tol Sungai Nyor. Lupakan lagu mengarut itu kerana ia sama sekali tidak menyumbang ke arah kemajuan diri sendiri.
Sebaliknya cuba bayangkan kalau si saintis termakan dengan kata-kata busuk di atas akibat kurang yakin pada diri. Pastilah beliau tidak akan berjaya menempa dan memahat nama beliau dalam sejarah sains dunia. Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas Thomas Edison yang mengalami 2000 kali kegagalan ketika mencipta mentol lampu. Ketika temubual dengan beliau sedang dijalankan seorang wartawan bertanya apakah perasaan beliau setelah 2000 kali gagal? Jawab beliau:

"Aku sama sekali tidak gagal, ia hanya mengambil 2000 langkah sebelum aku berjaya menciptanya, kalau aku gagal mentol lampu ini tidak akan berjaya dicipta sama sekali"

Pokok pangkalnya mereka yang berjaya bukan tidak pernah gagal tetapi mereka tidak pernah jemu belajar daripada kegagalan itu. Yang penting yakin pada diri sendiri. Orang lain boleh berkata apa sahaja tetapi terpulang pada diri kita untuk ambil peduli atau tidak. Mendengar kata-kata orang lain bukannya satu-satunya pilihan yang kita ada!

1 comment: