Dua tiga hari ni bumi tempat aku bermukim telah disimbahi air hujan dengan agak kerap. Keadaan tidak seperti ketika baru-baru aku pulang ke negara ini lebih kurang sebulan yang lalu. Masa itu keadaan sangat panas dan kering. Mungkin sekarang ni di tengah-tengah keberkatan syawal yang masih lagi terasa di sana sini. Apa yang paling aku suka ketika hujan turun adalah bau harum yang turut di bawa air yang sedang jatuh mencurah. Baunya sangat menyegarkan dan sama sekali tidak sama dengan bau sumber-sumber air yang lain seperti sungai, laut dan tasik. Disebabkan itu setiap kali berpeluang aku akan buka tingkap semasa hujan turun agar bau yang tersebar dapat meresap masuk.
Memori ketika hujan bukan setakat ambil bau semata-mata, ianya jauh lebih daripada itu. Dahulu tatkala musim tengkujuh keadaan tidak sama macam sekarang. Sebaik sahaja hujan berhenti boleh tengok anak-anak ikan berenang dalam lopak yang terhasil akibat hujan. Ada pulak kura-kura merangkak pelan-pelan mencari jalan pulang lepas hanyut terkeluar dari air parit. Kadang-kadang ada beberapa ekor mati kena langgar kereta semasa cuba melintas jalan. Yang bernasib baik ada orang tolong angkat dan hantar ke seberang sana. Celah-celah alur pulak boleh nampak ikan laga yang warna warni berenang-renang. Budak-budak apa lagi terus ambil peluang tangkap sebanyak mungkin. Bagi yang datang lambat tinggal yang tak berapa cantik, yang lawa-lawa semua kena rembat untuk dibawa berlagak dengan kawan-kawan.
Masa itu jugalah para guru kat sekolah-sekolah sibuk bawak akuarium kat kelas-kelas mereka untuk diisi dengan pelbagai jenis ikan yang ditangkap murid masing-masing. Sang katak turut ambil peluang melolong sana sini sambil bertelur. Selang beberapa hari muncul pula kawanan berudu yang turut ditangkap kanak-kanak yang hanya bertujuan untuk berseronok. Biasanya isi dalam botol-botol ubat lama untuk diperhati.
Sekarang ini tanpa sedar semua itu sudah tiada. Tiada lagi anak-anak ikan dalam lopak. Bangkai kura-kura yang bersepai dirempuh kereta juga tidak lagi dapat dilihat. Parit yang dahulunya banyak melata semua sudah dikambus bagi laluan pembinaan rumah, balai raya dan jugak kedai-kedai seiring dengan kepesatan pembangunan. Hujan pun sudah tidak selebat dahulu, keadaan juga tidak sedingin ketika itu. Jangan dicari ikan-ikan laga dalam alur semuanya boleh didapati di kedai-kedai ikan hiasan. Alur-alur juga sudah digantikan dengan longkang-longkang dengan alasan memperkemaskan sistem saliran. Semua sudah berubah, seiring dengan perubahan masa.
No comments:
Post a Comment