Monday, March 18, 2013

Masalah



Seorang rakan saya berbangsa Arab. Beliau berasal dari Iskandariah, Mesir. Sepanjang perkenalan kami, saya mengagumi peribadinya yang baik. Lagipun dia juga seorang yang kuat pegangan agama dan sentiasa mengambil tahu masalah yang sedang melanda dunia Islam sekarang khususnya apa yang sedang berlaku di negara kelahirannya, Mesir. Saya juga menyedari yang dia juga seorang yang agak terbuka dalam bab penerimaan dan pergaulan dengan penganut agama lain. Sebagai contoh mudah, beliau pernah menghadiri satu majlis perkahwinan rakannya yang beragama Kristian Koptik di sebuah gereja . Saya sendiri kurang pasti hukum akan hal ini memandangkan ilmu agama saya tidak setinggi mana Cuma hati saya merasakan kita sebagai Muslim dibenarkan untuk berbuat sedemikian selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan syarak.
Namun bukan ini yang mahu saya kongsikan. Untuk pengetahuan, sahabat saya ini dan isterinya merupakan golongan profesional yang berpendidikan tinggi. Mereka juga telah mendapat kerakyatan Australia, negara yang menemukan dan memulakan tali persahabatan antara kami. Hakikatnya beliau khuatir dengan persekitaran negara yang didominasi orang Barat ini. Kerisauan itu berasas dengan cara hidup bebas masyarakat Australia dan semakin bertambah apabila anak-anak mereka semakin membesar. Beliau dan isterinya memikirkan cara yang terbaik untuk mereka dan anak-anak. Dipendekkan cerita, akhirnya keputusan telah dibuat,  mereka harus keluar dari negara yang menjadi tempat mereka bernaung sekarang demi suatu masa depan yang difikirkan baik untuk mereka.
Mereka memilih mahu berhijrah ke Malaysia, keputusan yang dipengaruhi oleh status negara tempat asal saya ini sebagai salah sebuah negara Islam yang agak maju berbanding negara-negara lain. Terus terang, saya rasa bangga dengan pemilihan mereka kerana ini bererti kedudukan Negara kita dipandang tinggi, sekurang-kurangnya bagi sahabat saya tadi. Tetapi ini juga bermaksud mereka akan memulakan suatu kehidupan baru di dalam persekitaran sebuah negara Islam, yang terletak di Asia Tenggara yang berbeza budayanya dengan negara-negara Arab dan juga negara-negara Barat lainnya, sekurang-kurangnya itulah yang mereka percayai. Ribuan dollar dilaburkan untuk suatu penghijrahan yang mereka rasakan berbaloi untuk dilakukan.
Selepas peristiwa perpindahan itu, saya terputus hubungan dengan beliau untuk beberapa lama Walaubagaimanapun perkara ini bukanlah satu masalah besar memandangkan saya memahami urusan-urusan yang harus mereka selesaikan sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia. Sememangnya tidak mudah untuk memulakan satu kehidupan di tempat baru, semuanya harus bermula dari kosong. Akhirnya di suatu petang kira-kira enam minggu berikutnya, saya menerima satu panggilan darinya untuk memberitahu beliau dan keluarganya sudah kembali semula ke Australia. Ini agak mengejutkan dan kami mengaturkan suatu pertemuan di hari berikutnya untuk bercerita lanjut.
Di dalam pertemuan itu, beliau banyak meluahkan kekecewaan dengan apa yang telah dihadapi oleh beliau sekeluarga semasa di Malaysia. Menurutnya, anak-anaknya tidak dapat didaftarkan untuk bersekolah disebabkan telah melepasi tempoh yang telah ditetapkan. Pendaftaran seterusnya adalah pada bulan September. Sebenarnya sekolah yang dimaksudkan adalah sekolah antarabangsa yang memerlukan bayaran yuran yang tinggi. Saya sendiri tidak pernah tahu akan sistem yang digunapakai sebelum ini sehinggalah dimaklumkan mengenainya. Dan itu bukanlah satu-satunya perkara telah dialami memandangkan semasa proses pendaftaran persekolahan itu beliau turut dimaklumkan pakaian sekolah yang dibolehkan adalah bercirikan liberal yang mendedahkan aurat. Baginya ini sesuatu yang tidak boleh diterima memandangkan status negara kita sebagai sebuah negara orang Islam. Memang ada sesetengah sekolah yang bercirikan islamik tetapi masalah yang pertama tadi secara tidak langsung membataskan pilihan yang mereka ada. Terus terang saya tidak tahu apa yang harus saya perkatakan disebabkan masalah sebegini sememangnya di luar pengetahuan saya. Kalau adapun saya pernah terfikir, mungkin saya beranggapan pelajar diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Saya mengatakan mungkin kerana seperti saya katakan sebelum ini, saya tidak tahu ataupun saya sebelum ini memilih untuk tidak tahu.
Apa yang lebih menggusarkan saya adalah apabila rakan saya ini menanyakan mengapakah orang Islam di Malaysia tidak menguasai sektor ekonomi Negara? Baginya ini sesuatu yang aneh, kerana apabila berurusan dengan pihak-pihak swasta di Kuala Lumpur kelihatannya penglibatan orang Islam adalah sangat minima, kalaupun ada. Saya terkedu dan tidak tahu apa yang harus dijawab sebab semuanya betul. Seterusnya dia juga ada menceritakan pertemuannya dengan orang Melayu di Malaysia, dia berkata dia sangat seronok berada di dalam kumpulan orang Melayu disebabkan sifat mereka yang sopan, lemah lembut dan tertib. Mengenai hal ini, saya merasakan sememangnya kita telah didik untuk bersifat sedemian untuk berhadapan dengan orang, sekurang-kurangnya itulah apa yang kita cuba buat walaupun ada kalanya soal keikhlasan itu boleh dipersoalkan. Cuma adakala saya terfikir apakah sifat ini sudah semakin hilang di dalam diri orang kita? Buktinya, lihat sahaja ceramah-ceramah politik sekarang, seolah berada di dalam zon perang.
Berbalik pada kisah kawan saya tadi, akhirnya mereka sekeluarga membuat keputusan untuk balik ke Australia kembali. Sekurang-kurangnya mereka beranggapan itulah yang terbaik untuk dilakukan buat masa sekarang selepas mengambil kira semua permasalahan yang melanda. Bagi diri saya sendiri, kita semua berhak untuk memilih melakukan apa yang terbaik untuk kita. Dan sekiranya apa yang dirasakan yang terbaik itu bukanlah pilihan yang tepat, peluang masih ada untuk memperbetulkannya selagi kita tahu dan faham apa yang sedang kita lakukan. Kadang-kadang kita diberikan kesempatan untuk mempelajari sesuatu dengan cara yang tidak kita sangka-sangka. Wallahualam.