Aku pernah menetap kat Penang dekat-dekat empat tahun. Trafik kat sana memang macam cilaka. Kalau hati kecut jangan mimpi nak pakai kereta apatah lagi motor. Jalan raya kat sana dipenuhi drebar-drebar lepasan litar lumba. Dulu aku anggap itulah yang paling teruk, paling azab dan paling horror rupanya telahan itu silap sama sekali. Tempat yang aku duk sekarang ni lagi hebat sebab menggabungkan antara perangai drebar luar bandar diadunkan dengan sifat drebar bandar besar. Kalau di Penang kategori cilaka di sini para drebar berjaya menggondol gelaran cilanat. Bagi sesiapa yang jahil berkenaan kata-kata sumpah seranah boleh fikir macam ni. Kalau dibuat bentuk piramid perkataan cilanat adalah berkedudukan di puncak, paling atas. Cilaka duk bawah dia. Lapisan-lapisan bawah dia boleh la diisi dengan pelbagai perkataan lain lagi. Ikut selera masing-masing. Kat mana tempat aku maksudkan ni ye? Cukuplah dikatakan tempat ni sangat popular. Gemilau cahaya glamer sudah menjadi perkara biasa, daripada pemerintah sehinggalah ke rakyat biasa itupun belum dikira pelbagai benda-benda menarik lagi yang berkaitan dengan tempat ini.
Antara sifat pemandu yang jadi trade mark adalah malas beratur kat traffic light. Sesuka hati menempel kat tepi-tepi kereta orang lain mintak dibagi laluan. Perlu dinyatakan secara jelas ini adalah pemandu kereta bukan penunggang motorsikal atau basikal roda tiga. Pastu ada pulak mereka yang baru balik dari luar negara yang mana negara tu adalah mengamalkan sistem yang bawak perlahan ataupun dikira sebagai drebar lembab duk belah kanan. Yang ni cukup bengang. Menyusahkan orang lain sampai berderet kereta kat belakang macam keretapi zaman arang batu. Lagi dahsyat bila drebar tarzan yang mana secara semberono keluar simpang tanpa lihat kiri kanan persis seekor babi melintas jalan. Jenis takde kesedaran sivik pun boleh tahan ramainya walaupun takde la sampai membentuk populasi sesebuah negara. Jenis ni biasanya suka meludah keluar tingkap dan juga buang sampah ke atas jalan raya. Antara sampah yang paling popular adalah kulit buah. Cuba bayangkan kalaulah durian boleh dimakan dalam kereta maka tentulah berterabur duri durian atas jalan. Ada jugak yang tak suka bagi signal sebelum membelok ke mana-mana simpang. Mungkin mereka mahu menjimatkan penggunaan bateri agar tidak mengalami kejadian enjin tak dapat dihidupkan. Ini disebabkan bila enjin tak dapat dihidupkan maka kena tolak pulak kereta tu. Silap-silap tolak boleh terjunam dari bangunan tingkat tiga hempap orang naik escalator. Jadi kes naya.
Tapi aku lega kerana kenderaan kat negara kita ni tak dilengkapi sistem bunyi yang dipasang di luar kenderaan yang membolehkan para pemandu bersuara secara langsung ke arah kenderaan lain. Kalau jadi macam tu maka atas jalan raya bukan lagi didominasi oleh bunyi-bunyian daripada bas, lori dan kenderaan berat yang lainnya tetapi yang jelas kedengaran adalah bunyi para pemandu memaki hamun sesama mereka akibat ketidakpuasan hati yang seringkali dirasai semasa menggunakan jalan raya.
No comments:
Post a Comment