Monday, January 4, 2010

Kashmir


Kat atas tu gambar lembah Kashmir. Kawasan yang tak dapat dinafikan memang cantik dan indah. Kalau nak tengok lebih boleh google carik sendiri. Lama dulu ada ahli falsafah Barat (nama dah lupa) pernah berkata Kashmir adalah kawasan lembah yang sangat indah tapi akan musnah akibat pergolakan. Ternyata telahan beliau itu menjadi kenyataan. Hari ini, lembah yang indah itu telah menjadi salah satu kawasan bergolak. Lebih malang lagi adalah ia merupakan kawasan orang Islam. Dahulu ia adalah sebahagian daripada India. Tetapi semasa empayar India berpecah dua pada tahun 1947 dahulu maka lahirlah dua negara berdaulat. Pakistan yang Islam dan India yang bermajoritikan penganut Hindu. Perpecahan berdarah itu telah meragut jutaan nyawa dan menyebabkan perpindahan penduduk sehingga berbelas juta. Masalah muncul di Kashmir apabila wilayah yang berpenduduk Islam ini memilih untuk menyertai India. Ini adalah disebabkan Maharaja kashmir pada masa tu adalah seorang Hindu, maka beliau telah menyatakan persetujuan untuk menjadi sebahagian negara India. Disebabkan India telah menjadi sebuah republik maka Raja-Raja sudah tiada kuasa politik. Keputusan yang telah dibuat telah menjadi satu masalah. Sepanjang penubuhan India dan Pakistan, mereka telah tiga kali berperang. Dua kali adalah disebabkan isu Kashmir ini. Keadaan menjadi tegang apabila India telah menjadi kuasa nuklear. Provokasi meningkat sepanjang sempadan tetapi makin berkurang apabila Pakistan jugak telah menjadi negara kuasa nuklear. Ironinya, bapa nuklear India adalah seorang Islam dan telah diangkat menjadi presiden India pada 2002 sehinggalah Presiden sekarang, seorang wanita yang bernama Prathiba Patil telah menggantikan beliau apabila penggal beliau telah tamat pada 2007. Akibat peperangan yang berlaku akibat perebutan itu, geografi Kashmir telah berubah. Sepertiga daripada wilayah itu adalah di bawah kekuasaan Pakistan, yang diberi nama Azad kashmir yang bermaksud Kashmir yang bebas. Ibu negerinya adalah Muzafarabad. Kashmir India telah disatukan dengan sebuah wilayah kecil Hindu yang bernama Jammu. Maka di India Kashmir dikenali sebagai Jammu dan Kashmir yang beribunegerikan Srinagar. Penyatuan dua wilayah ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Kashmir kerana jumlah majoriti mereka telah berkurangan akibat penyatuan dengan penganut Hindu. Perlu juga dinyatakan bahawa sebahagian kecil wilayah ini jugak diduduki oleh China, yang dikenali sebagai Aksai Chin. India mempunyai 28 negeri dan Kashmir merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Ketua Menteri Islam. Walaupun begitu, pihak tentera India merupakan golongan yang paling berkuasa di wilayah tersebut. Ketidakpuasan hati penduduk telah menimbulkan satu pemberontakan berterusan yang telah meragut puluhan ribu nyawa yang tak berdosa. Pihak penduduk sekarang terbahagi kepada tiga puak. Puak pertama mahukan kemerdekaan penuh daripada India dan membentuk sebuah negara baru, sesuatu yang mustahil untuk dipenuhi kerana kehilangan sesebuah wilayah akan menjejaskan maruah sesebuah negara, tambahan pula dalam keadaan sekarang di mana India dilihat berusaha gigih untuk menjadi salah satu kuasa ekonomi global. Pihak kedua pula mahukan penyatuan dengan Azad Kashmir dan mahu bernaung di bawah Pakistan dan membentuk satu wilyah Kashmir yang asal. Manakala pihak minoriti yang majoritinya Hindu tetap mahu berada di bawah Persekutuan India seperti mana sekarang. Cadangan daripada puak nasionalis Hindu yang mahukan tanah-tanah di Kashmir di buka untuk penempatan golongan Hindu agar mereka menjadi golongan majoriti di sana telah memburukkan lagi situasi semasa. Sehingga kini masih belum nampak mana-mana jalan penyelesaian dan apa yang boleh disimpulkan wilayah ini menjadi percaturan dua kuasa nuklear dunia yang mana pihak yang secara nyata menjadi mangsa adalah penduduk Kashmir itu sendiri. Ibarat kata pepatah 'gajah sama gajah berlawan, pelanduk mati ditengah-tengah'.
*Kombinasi sejarah dan geografi memang membosankan sebilangan individu, tapi aku bukan dalam golongan itu...

No comments:

Post a Comment