Friday, September 24, 2010

Kata-Kata

"Hasil kerja kamu ni pasti takkan ke mana"

Begitulah lebih kurang ungkapan berbaur puaka daripada seseorang kenalan kepada seorang saintis terkemuka semasa si saintis itu sedang gigih menyiapkan kerja-kerja akhir sebelum menguji hasil ciptaan terbarunya. Jika orang yang ringan mulut itu masih hidup sekarang ni dialah orang paling malu sekali kat dunia ini dan gelaran jakun pasti terpalit pada dirinya sehingga akhir hayat. Dan yang paling bangga tentulah si saintis yang tidak berkudis sedikit pun dengan kata-kata berbaur penghinaan itu. Hasil ciptaan itu menjadi suatu benda yang maha penting sekarang ni sehinggakan ketiadaannya boleh mendatangkan bencana kepada seluruh manusia sejagat. Ciptaan itu adalah telefon.
Telefon yang dimaksudkan ini bukanlah sebuah lagu popular masa kini yang mana klip videonya memaparkan dua ekor ayam ke melingas ke sana ke mari tanpa tujuan sehinggalah hayat kedua ekornya berakhir akibat dilanggar lori kontena ketika cuba melintas jalan berhampiran plaza tol Sungai Nyor. Lupakan lagu mengarut itu kerana ia sama sekali tidak menyumbang ke arah kemajuan diri sendiri.
Sebaliknya cuba bayangkan kalau si saintis termakan dengan kata-kata busuk di atas akibat kurang yakin pada diri. Pastilah beliau tidak akan berjaya menempa dan memahat nama beliau dalam sejarah sains dunia. Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas Thomas Edison yang mengalami 2000 kali kegagalan ketika mencipta mentol lampu. Ketika temubual dengan beliau sedang dijalankan seorang wartawan bertanya apakah perasaan beliau setelah 2000 kali gagal? Jawab beliau:

"Aku sama sekali tidak gagal, ia hanya mengambil 2000 langkah sebelum aku berjaya menciptanya, kalau aku gagal mentol lampu ini tidak akan berjaya dicipta sama sekali"

Pokok pangkalnya mereka yang berjaya bukan tidak pernah gagal tetapi mereka tidak pernah jemu belajar daripada kegagalan itu. Yang penting yakin pada diri sendiri. Orang lain boleh berkata apa sahaja tetapi terpulang pada diri kita untuk ambil peduli atau tidak. Mendengar kata-kata orang lain bukannya satu-satunya pilihan yang kita ada!

Wednesday, September 22, 2010

Bantuan

Selalunya benda-benda baik dalam kehidupan boleh dipelajari daripada pemerhatian ke atas orang lain. Perkara tak baik juga boleh diperhati tapi gunanya akal adalah untuk memperhalusi perkara buruk agar dapat dihindarkan. Semuanya saling berkaitan selagi akal digunapakai dalam keadaan serba waras. Kalau tak buat macam tu semuanya jadi bercelaru, perkara-perkara buruk semuanya dianggap baik belaka. Lama kelamaan jadilah orang tidak berguna pada diri sendiri dan juga orang lain.
Petang tadi aku balik daripada Penang atas tuntutan urusan kerja. Sesampainya sekitar kawasan gunung ganang di daerah Baling, Kedah kelihatan sorang lelaki melambai dari tepi sebuah kereta yang tersadai kat tepi jalan. Jalan masa tu memang lengang, kawasan pulak memang terpencil habis. Yang drive adalah kawan aku, lantas dia bertanya "nak tolong ke tidak?" Sebelum aku sempat menjawab dia dah berhentikan kereta. Aku memilih untuk diam sambil tangan aku mencapai wallet untuk disembunyikan kerana bimbang lelaki tadi adalah perompak.
Selepas mengerling sepintas lalu ke dalam kereta itu hati ada sedikit lega. Di dalamnya kelihatan sorang pompuan muda sarat mengandung dan sorang budak pompuan masih kecil, sekitar 4 tahun. Lega disebabkan tidak ramai pompuan sarat mengandung terlibat dalam arena penjenayahan negara. Selepas diselidiki ada bahagian yang rosak, tak dapat repair dan memerlukan alat ganti baru sebagai penyelesaian masalah itu. Lagi tambah masalah bila tiada coverage telefon di kawasan kejadian maka kami memilih untuk menghantar mereka ke kawasan yang ada coverage untuk menelefon mekanik. Dekat 20 km dari tempat u baru boleh membuat panggilan. Selepas memaklumkan pada mekanik kami menghantar keluarga itu ke sebuah kawasan R&R bagi membolehkan mereka menunggu bantuan yang akan tiba dengan lebih selesa.
Lelaki itu cuba memberi sejumlah wang tapi ditolak dengan baik. Berkali-kali dia ucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan. Dalam hati aku bersyukur bukan aku yang drive tadi. Sebabnya kalau aku yang memandu, atas sebab keselamatan diri aku takkan berhentikan kereta di tengah gunung ganang. Walaupun kejadian ini nampak kecik saja tapi telah mengubah tanggapan dalam diri aku selama ini. Betapa dalam dunia ini masih ada orang yang baik-baik. Dan salah sorangnya berada di sekitar aku. Juga betapa aku mengharapkan aku akan jadi seperti itu juga. Dan aku juga telah sedar 'tiada alasan untuk tidak membantu'...

Friday, September 17, 2010

Penangan Raya

Kadang-kadang aku rasa agak pelik dengan corak kehidupan majoriti umat Melayu. Banyak sangat adat dan pantang larang yang pada aku pelik-pelik semuanya. Belum masuk lagi yang suka berkawan dengan hantu setan, bela toyol, pelesit serta hantu raya. Bebaru ni ada dengar cerita ada saka nenek moyang ikut pewaris sampai ke UK. Sudahnya ramai kena penangan gangguan sang saka itu, yang lebih ajaib adalah semua mangsanya terdiri daripada kaum Melayu semata. Kelompok mat saleh, negro, pakistan adalah terkecuali walaupun tinggal berjiran dengan keluarga yang ada saka itu. Mungkin si saka takut tengok badan diorang besar-besar lagi tinggi, tak pun saka itu tak reti speaking maka susahlah nak merasuk sampai mereka meracau-racau.
Bila sambut raya pun Melayu sangat hebat. Daripada bergaduh laki bini nak balik raya sampailah tragedi kematian sebab balik raya semuanya ada. Tukar perabot, langsir dan baju raya berkelipan mengalahkan mentol lampu malam tujuh likur dah jadi sangat stereotaip. Berebut tiket balik raya dipakejkan dengan kemunculan mengejut ulat-ulat jual tiket, tak boleh lari semua ni. Tiap-tiap tahun mesti ada. Kat TV pulak tiap-tiap hari raya semua pakat tayang citer semaksima mungkin. Kalau tengok semua pasti bijik mata terkeluar dari soket. Citer-citer bergenre seram mengarut yang tak da kaitan sama sekali dengan raya turut dihidangkan secara maraton daripada raya pertama sampai raya kelapan. Di tahun-tahun mendatang mungkin tayang sampai sebulan penuh bulan syawal. Produser filem pulak pakat berebut untuk slot tayangan masa raya sebab musim-musim macam inilah boleh jana duit. Rupanya trend sekarang bila raya orang pakat serbu pawagam. Dimeriahkan lagi pulak dengan iklan-iklan raya daripada syarikat-syarikat multinasional yang rata-ratanya sangat plastik. Yang betul-betul sampai mesejnya boleh kira dengan jari sebelah tangan. selebihnya boleh buang dalam parit untuk diperhanyut ke laut lepas.
Beberapa hari sebelum raya suasana sangat-sangat luar biasa. Semua pakat sibuk memborong sana sini. Lailatulqadar entah ke mana silap-silap puasa-puasa yang akhir kena qada ke tahun depan. Kalau ada masa boleh tengok keadaan pasar sehari sebelum raya semuanya penuh dengan umat manusia yang berebut beli persiapan terakhir sebelum raya. Harga belakang kira, masa tu semua jadi pemurah yang tak kisahkan soal harga asalkan dapat barangan. Tiap-tiap tahun keadaan tak banyak berubah yang tak sama hanyalah berat badan sebelum dan selepas raya. Kepada para penyakit kronik, diucapkan selamat datang...seiring dengan para tetamu sekalian.

Thursday, September 16, 2010

Hujan

Dua tiga hari ni bumi tempat aku bermukim telah disimbahi air hujan dengan agak kerap. Keadaan tidak seperti ketika baru-baru aku pulang ke negara ini lebih kurang sebulan yang lalu. Masa itu keadaan sangat panas dan kering. Mungkin sekarang ni di tengah-tengah keberkatan syawal yang masih lagi terasa di sana sini. Apa yang paling aku suka ketika hujan turun adalah bau harum yang turut di bawa air yang sedang jatuh mencurah. Baunya sangat menyegarkan dan sama sekali tidak sama dengan bau sumber-sumber air yang lain seperti sungai, laut dan tasik. Disebabkan itu setiap kali berpeluang aku akan buka tingkap semasa hujan turun agar bau yang tersebar dapat meresap masuk.
Memori ketika hujan bukan setakat ambil bau semata-mata, ianya jauh lebih daripada itu. Dahulu tatkala musim tengkujuh keadaan tidak sama macam sekarang. Sebaik sahaja hujan berhenti boleh tengok anak-anak ikan berenang dalam lopak yang terhasil akibat hujan. Ada pulak kura-kura merangkak pelan-pelan mencari jalan pulang lepas hanyut terkeluar dari air parit. Kadang-kadang ada beberapa ekor mati kena langgar kereta semasa cuba melintas jalan. Yang bernasib baik ada orang tolong angkat dan hantar ke seberang sana. Celah-celah alur pulak boleh nampak ikan laga yang warna warni berenang-renang. Budak-budak apa lagi terus ambil peluang tangkap sebanyak mungkin. Bagi yang datang lambat tinggal yang tak berapa cantik, yang lawa-lawa semua kena rembat untuk dibawa berlagak dengan kawan-kawan.
Masa itu jugalah para guru kat sekolah-sekolah sibuk bawak akuarium kat kelas-kelas mereka untuk diisi dengan pelbagai jenis ikan yang ditangkap murid masing-masing. Sang katak turut ambil peluang melolong sana sini sambil bertelur. Selang beberapa hari muncul pula kawanan berudu yang turut ditangkap kanak-kanak yang hanya bertujuan untuk berseronok. Biasanya isi dalam botol-botol ubat lama untuk diperhati.
Sekarang ini tanpa sedar semua itu sudah tiada. Tiada lagi anak-anak ikan dalam lopak. Bangkai kura-kura yang bersepai dirempuh kereta juga tidak lagi dapat dilihat. Parit yang dahulunya banyak melata semua sudah dikambus bagi laluan pembinaan rumah, balai raya dan jugak kedai-kedai seiring dengan kepesatan pembangunan. Hujan pun sudah tidak selebat dahulu, keadaan juga tidak sedingin ketika itu. Jangan dicari ikan-ikan laga dalam alur semuanya boleh didapati di kedai-kedai ikan hiasan. Alur-alur juga sudah digantikan dengan longkang-longkang dengan alasan memperkemaskan sistem saliran. Semua sudah berubah, seiring dengan perubahan masa.

Raya Lagi

Sekarang ni musim raya. Kemuncaknya adalah pada satu syawal yang dah beberapa hari berlalu pergi. Tiga empat hari sebelum dan selepas satu syawal aku seolah-olah menetap di negara bergolak dengan kejadian letupan sana sini adalah sesuatu yang sangat-sangat biasa. Mercun sekarang ni bukan lagi macam dulu, bunyinya mengalahkan bom. Jenis-jenis mercun pun aku dah tak tahu sangat. Yang paling hebat dengar cerita main sampai orang melayang atas pokok tersangkut kat celah-celah dahan. Lagi power bila rumah meletup tak tinggal apa, hanya bara yang berterabur sana sini. Hebat!! Agaknya mercun jenis ular dan bawang orang dah letak dalam muzium. Jadi artifak sejarah yang menyimpan cerita betapa pada zaman dahulukala mercun merupakan sesuatu yang sangat selamat dan mesra pengguna.
Hari raya berlalu dengan pelbagai cerita. Paling menarik bila dengar cerita kawan-kawan sebaya. Yang dah kawin lebih ramai daripada yang bujang. Beranak pinak dah jadi acara tetap tahunan. Lagi haru dengar ada yang dah kena cerai dengan laki, kena tinggal dengan bini dan ada yang dah kena madu! Yang dapat cucu takat ni belum dengar lagi. Mungkin kena tunggu beberapa tahun lagi baru ada. Lebih dasat bila dengar dah ramai yang sakit. Penyakit pulak pelbagai jenis, ada yang jenis misteri, sakit keturunan sehinggalah obes melampau sampai perlukan tongkat.
Dari segi penampilan pulak macam tak caya pun ada. Yang pompuan dulu pakai tudung mengalahkan ninja sekarang dah jadi Lady Gaga. Dulu tersentuh sikit-sikit batal air semayang sekarang siap main salam-salam, air semayang entah ke mana. Yang dulu suara ala-ala tak keluar sebab jaga aurat sekarang main jerit macam kena histeria. Dulu tak mahu naik motor takut kain sekolah terselak sekarang dah pandai buat aksi superman. Yang paling best dulu badan macam papan sekeping sebab jaga makan sekarang macam dipam-pam sebab lebih makan. Bagi yang lelaki dulu paling macho, jadi kegilaan budak pompuan dan golongan pondan sekarang besor macam anak jin. Agaknya masing-masing bahagia sebab ada bini jaga selain seronok dapat anak-anak yang bercempera sana sini.
Apapun kat ceruk mana pun umat manusia ada golongan bizi body tak pernah miss untuk turut sama memeriahkan muka bumi. Gosip-gosip hangat semuanya dalam tangan. Musim perayaan dianggap satu bonus sepanjang zaman sebab boleh jumpa banyak orang untuk jaja cerita yang belum pasti tahap kebenarannya. Bagi golongan jenis ni musim-musim raya paling kurang boleh tambah beberapa kontena dosa kering dan juga basah ke dalam stok simpanan yang dah beberapa gudang sebagai simpanan hari pengadilan nanti. Dengar boleh tapi lepas tu cepat-cepat lupakan. Bukan apa, takut dikata menyombong pulak kan tak pasal-pasal boleh jadi modal cerita untuk diorang jaja.

Sunday, September 5, 2010

Puasa

Bulan puasa tahun ni dah hampir sampai ke penghujung. Untuk rekod, cara aku berpuasa kali ini sangat pelbagai.

*Berpuasa kat UK. Sekarang ni summer, pukul 9 pm baru boleh bukak puasa. Nasib baik beberapa hari je, kalau sebulan berpuasa kat sana sebelum ramadhan depan jenuh la aku ganti posa...mungkin jugak kena bayar fidyah....
*Bukak posa dalam kapal terbang. Yang ni agak perit sebab depa anta makanan bukak ikut sesedap rasa orang request...kena ikut jadual, so kena tunggu dekat2 sejam baru boleh makan
*Bukak posa kat tepi pantai...sesudah acara makan terus pergi memborong sampai tengah malam, masa kejadian status adalah musafir, maka boleh solat jamak....esoknya tak bangun sahur sebab penat gila
*Bukak posa dalam kereta di tengah-tengah lebuh raya Jeli - Gerik, sebab tak jumpa kedai terus drive sampai Tanah Merah dan berhenti makan kat sana

Untuk tahun ini ramadhan rasanya sangat sekejap berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya....