Wednesday, October 13, 2010

Amuk

Ramai orang menganggap amuk itu datangnya dari budaya Melayu. Kalau pergi mana-mana muzium kat Mesia ni mesti ada lukisan yang memaparkan kejadian amuk yang berdarah. Berdarah sebab melibatkan kematian. Sekarang ni pun masih dengar kes amuk tak kira di ceruk kampung mahupun tengah kotaraya. Tapi sangat tak setuju bila kaitkan amuk dengan Melayu semata sebab kalau rajin ambik tahu apa yang berlaku kat negara luar pun tidak kurang hebatnya. Kat Amerika contohnya ramai orang mengamuk sebab tekanan. Pastu selamba pergi bunuh orang lain sama ada yang ada kaitan atau sama sekali tiada kaitan. Biasanya main tembak saja. Mati pun ramai.
Tapi kalau mengamuk bising-bising kat orang lain aku kira sangat menganggu gugat keamanan sejagat. Apa yang keluar daripada mulut pun bukan sedap untuk didengar orang lain. Takdenya orang mengamuk memuji orang yang diamuk, yang ada hanya maki hamun semata. Sebolehnya nak protes pun biarlah kat orang berkaitan saja dan jangan sesekali depan khalayak. Bukan apa nampak buruk lah. Muka masa marah sangat tiada seri lainlah kalau cucuk sana sini pastu selit susuk pulak. Lagipun tiada langsung ciri macho masa tengah mengamuk, buat orang lagi meluat adalah. Yang heppy hanya setan dan konco-konconya.

Pokok

Masa tu aku masih sekolah menengah. Kalau tak silap dalam tingkatan satu. Subjek adalah Sains. Aku masih ingat cikgu yang mengajar itu. Hari itu dia sebut pasal saling berhubungan antara spesies tumbuhan. Macam-macam cara perhubungan; ada yang menguntungkan, merugikan dan juga tidak untung serta tiada kerugian.
Rupanya pokok juga saling berinteraksi sesama mereka tapi bezanya cara mereka sukar untuk dilihat melainkan tengok dengan sepenuh perhatian. Yang paling aku ingat adalah pokok jenis efifit yang suka bertenggek kat pokok lain yang lebih besar. Contoh paling senang adalah pokok dedalu yang suka menjadikan pokok-pokok yang lebih besar sebagai habitat. Dedalu banyak ciri-ciri tak elok tapi masih wujud di sana-sini. Dulu aku pikir juga kenapa spesis macam ni pun ada, sekarang aku rasa aku dah faham. Amat faham.

Tuesday, October 12, 2010

Anugerah

Sememangnya aku dapat itu dengan mudah. Tanpa usaha keras sepertimana orang lain. Tapi apa boleh aku kata, apa mampu aku komen bilamana apa yang terjadi itu diluar pengetahuan aku? Sesungguhnya aku tidak tahu menahu ketika perkara itu berlaku tapi aku hargai segala usaha orang yang berjasa itu. Aku tahu niat beliau adalah baik, tulus dan murni. Kalau ada niat tersirat itu bukan masalah aku. Untuk apa aku bebankan kepala otak dengan memikirkan perkara yang belum tentu ada benarnya. Buat penat saja dan biarlah tenaga itu disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan. Apa-apa saja yang baik aku terima tanpa ada soalan-soalan memualkan lagi menjelikkan.
Atas sebab mudahlah aku kurang hargai. Agaknya bila aku perlu berjuang bermati-matian untuk mendapatkan itu tidaklah aku anggap semuanya remeh. Aku kena belajar untuk menghargai. Aku kena belajar untuk lebih berterima kasih. Sekarang aku sangat jelas betapa itu adalah sebaik-baik anugerah. Aku takkan lepas lagi. Sebelum ni pun aku tiada pernah lepas tapi sekadar genggam dengan ala kadar sahaja. Sekarang aku cengkam. Bimbang takut terlepas.

Lapang dada

Kalau ini berlaku pada masa lalu mungkin aku akan gelak sampai pengsan. Segala mentol-mentol berwarna warni akan dipasangkan serata ruang, biar bercahaya mengalahkan orang sambut deepavali. Mungkin beberapa malam tidak dapat tidur sebab terlalu gembira. Barangkali itu yang akan berlaku.
Tapi minggu depan aku sudah 26 tahun. Apa pekdahnya aku gelak sampai serak tekak, sampai terkehel rahang, sampai pucat lesi dan sampai ntah hapa-hapa lagi. Sebetulnya aku rasa tidak pasti apa patut aku rasa cuma aku yakin 100% aku tak sesal walau sebesar anak hama. Aku tahu semua yang berlaku bukan dengan saja-saja, semuanya ada hikmah tersembunyi. Penuh dengan rahsia Tuhan cuma kita sebagai manusia sangat jahil untuk melihat sesuatu yang tersembunyi. Biarlah, semua itu sudah lepas. Aku sambut dengan kelegaan.
Esok semuanya bermula dengan penuh pembaharuan. Sepatutnya malam ini terus mulakan terus, jangan tunggu sampai esok. Aku dah terlalu lama menunggu. Aku dah boring tapi aku tak sesekali mengalah. Aku dah selesaikan dengan berjaya. Sekurang-kurangnya itu yang aku rasakan. Orang lain nak pikir apa aku tak peduli. Sekurang-kurangnya aku masih berpegang pada prinsip. Prinsip yang membawa aku ke tahap sekarang. Jangan ingat aku akan biarkan saja. Tidak, aku bukan jenis itu.

Sunday, October 10, 2010

Rumah

Rumah seharusnya menjadi suatu tempat yang paling aman, selamat dan menenangkan bagi penghuninya. Tiada masalah kalau tempat kerja penuh dengan tekanan, masih ada rumah untuk ditujui. Sebab itu orang kata rumahku syurgaku. Tiada orang mahu menganggap rumah mereka sebagai neraka sebab tiada sorangpun manusia yang waras mahu ke neraka. Apatah lagi dah tahu tempat tu neraka masih mahu pulang ke sana setiap hari. Maka sesuai dengan tarafnya rumah kita mestilah menjadi tempat yang menjadi keutamaan, tempat yang paling dirindui.
Tidak perlu untuk dihias cantik jika tidak mampu, cukuplah bersih semata-mata. Kebersihan tidak memerlukan modal ianya hanya datang dari kesedaran. Kesedaran datang daripada hati. Tapi kalau hati sudah mati tiada gunanya lagi bercakap pasal kebersihan. Nak cakap pasal menghias lagi jauh panggang dari api. Mungkin yang paling sesuai adalah bercakap pasal lipas dan sampah.

Thursday, October 7, 2010

Sikap

Aku sama sekali tak kesal dengan tindakan aku itu. Sebab bagi aku itu adalah sebaik-baik cara yang mampu aku fikirkan. Kalau ada cara lain lagi aku sudi untuk mendengar tapi aku sangat pasti tiada lagi pilihan lain. Aku sudah tak tahan. Aku bimbang rasa simpati bertukar jadi benci. Sekarang rasa meluat makin mengambil tempat dalam hati, aku risau rasa meluat ini bakal menjadi wabak tak terbendung.
Kenapa ada manusia yang mempunyai cara berfikir sedemikian rupa? Aku sangat-sangat tidak faham dan sampai bila-bila pun aku takkan faham. Kita hidup atas muka bumi bukan segalanya mudah dan senang. Tolong belajar erti tanggungjawab, paling penting ke atas diri sendiri. Tahap kesabaran orang pasti ada hadnya. Tak guna mulut pandai bercakap tapi telinga tuli dan buta matanya. Tolonglah lebih peka pada keadaan sekeliling. Kalau itu masih gagal untuk menyedarkan aku ucapkan boleh jalan saja!
*baru lepas makan durian, badan jadi panasssss

Sunday, October 3, 2010

Friendship

Berkawan adalah sesuatu yang tidak perlu untuk diajar. Bezanya adalah cara seseorang itu menzahirkan sesebuah persahabatan. Ada yang berkawan untuk bersuka ria semata-mata tidak kurang juga hanya untuk mengisi kesunyian diri sendiri. Tetapi ada juga yang dianggap sebagai sahabat sejati yang sentiasa ada menghulurkan tangan, menadahkan telinga dan menuturkan kata-kata berguna pada masa-masa kawannya memerlukan seorang teman.
Ada yang berani komplen kawan-kawan sendiri tanpa cermin diri sendiri terlebih dahulu. Ingatlah tiada orang yang sempurna dalam dunia ini, cuma yang mampu dilakukan adalah sama-sama memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Menegur tidak salah tetapi pilihlah cara yang berhemah dan jikalau masih tidak makan teguran, ketahuilah tanggungjawab anda telah selesai.
Kawan yang baik tidak akan sekali-kali bersifat khianat. Kawan yang setia akan sentiasa ada di hati walau jauh di mata. Kawan yang sejati melakukan kebaikan di luar pengetahuan kawannya kerana yang diharapkan bukanlah pujian tetapi satu keikhlasan.
Kawan...
tak perlu hari-hari ada,
tak perlu hari-hari jumpa,
tak perlu hari-hari ingat,
tak perlu hari-hari dekat,
yang penting.......YANG PEDULI....