Monday, March 18, 2013

Masalah



Seorang rakan saya berbangsa Arab. Beliau berasal dari Iskandariah, Mesir. Sepanjang perkenalan kami, saya mengagumi peribadinya yang baik. Lagipun dia juga seorang yang kuat pegangan agama dan sentiasa mengambil tahu masalah yang sedang melanda dunia Islam sekarang khususnya apa yang sedang berlaku di negara kelahirannya, Mesir. Saya juga menyedari yang dia juga seorang yang agak terbuka dalam bab penerimaan dan pergaulan dengan penganut agama lain. Sebagai contoh mudah, beliau pernah menghadiri satu majlis perkahwinan rakannya yang beragama Kristian Koptik di sebuah gereja . Saya sendiri kurang pasti hukum akan hal ini memandangkan ilmu agama saya tidak setinggi mana Cuma hati saya merasakan kita sebagai Muslim dibenarkan untuk berbuat sedemikian selagi tidak melanggar batasan yang ditetapkan syarak.
Namun bukan ini yang mahu saya kongsikan. Untuk pengetahuan, sahabat saya ini dan isterinya merupakan golongan profesional yang berpendidikan tinggi. Mereka juga telah mendapat kerakyatan Australia, negara yang menemukan dan memulakan tali persahabatan antara kami. Hakikatnya beliau khuatir dengan persekitaran negara yang didominasi orang Barat ini. Kerisauan itu berasas dengan cara hidup bebas masyarakat Australia dan semakin bertambah apabila anak-anak mereka semakin membesar. Beliau dan isterinya memikirkan cara yang terbaik untuk mereka dan anak-anak. Dipendekkan cerita, akhirnya keputusan telah dibuat,  mereka harus keluar dari negara yang menjadi tempat mereka bernaung sekarang demi suatu masa depan yang difikirkan baik untuk mereka.
Mereka memilih mahu berhijrah ke Malaysia, keputusan yang dipengaruhi oleh status negara tempat asal saya ini sebagai salah sebuah negara Islam yang agak maju berbanding negara-negara lain. Terus terang, saya rasa bangga dengan pemilihan mereka kerana ini bererti kedudukan Negara kita dipandang tinggi, sekurang-kurangnya bagi sahabat saya tadi. Tetapi ini juga bermaksud mereka akan memulakan suatu kehidupan baru di dalam persekitaran sebuah negara Islam, yang terletak di Asia Tenggara yang berbeza budayanya dengan negara-negara Arab dan juga negara-negara Barat lainnya, sekurang-kurangnya itulah yang mereka percayai. Ribuan dollar dilaburkan untuk suatu penghijrahan yang mereka rasakan berbaloi untuk dilakukan.
Selepas peristiwa perpindahan itu, saya terputus hubungan dengan beliau untuk beberapa lama Walaubagaimanapun perkara ini bukanlah satu masalah besar memandangkan saya memahami urusan-urusan yang harus mereka selesaikan sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia. Sememangnya tidak mudah untuk memulakan satu kehidupan di tempat baru, semuanya harus bermula dari kosong. Akhirnya di suatu petang kira-kira enam minggu berikutnya, saya menerima satu panggilan darinya untuk memberitahu beliau dan keluarganya sudah kembali semula ke Australia. Ini agak mengejutkan dan kami mengaturkan suatu pertemuan di hari berikutnya untuk bercerita lanjut.
Di dalam pertemuan itu, beliau banyak meluahkan kekecewaan dengan apa yang telah dihadapi oleh beliau sekeluarga semasa di Malaysia. Menurutnya, anak-anaknya tidak dapat didaftarkan untuk bersekolah disebabkan telah melepasi tempoh yang telah ditetapkan. Pendaftaran seterusnya adalah pada bulan September. Sebenarnya sekolah yang dimaksudkan adalah sekolah antarabangsa yang memerlukan bayaran yuran yang tinggi. Saya sendiri tidak pernah tahu akan sistem yang digunapakai sebelum ini sehinggalah dimaklumkan mengenainya. Dan itu bukanlah satu-satunya perkara telah dialami memandangkan semasa proses pendaftaran persekolahan itu beliau turut dimaklumkan pakaian sekolah yang dibolehkan adalah bercirikan liberal yang mendedahkan aurat. Baginya ini sesuatu yang tidak boleh diterima memandangkan status negara kita sebagai sebuah negara orang Islam. Memang ada sesetengah sekolah yang bercirikan islamik tetapi masalah yang pertama tadi secara tidak langsung membataskan pilihan yang mereka ada. Terus terang saya tidak tahu apa yang harus saya perkatakan disebabkan masalah sebegini sememangnya di luar pengetahuan saya. Kalau adapun saya pernah terfikir, mungkin saya beranggapan pelajar diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Saya mengatakan mungkin kerana seperti saya katakan sebelum ini, saya tidak tahu ataupun saya sebelum ini memilih untuk tidak tahu.
Apa yang lebih menggusarkan saya adalah apabila rakan saya ini menanyakan mengapakah orang Islam di Malaysia tidak menguasai sektor ekonomi Negara? Baginya ini sesuatu yang aneh, kerana apabila berurusan dengan pihak-pihak swasta di Kuala Lumpur kelihatannya penglibatan orang Islam adalah sangat minima, kalaupun ada. Saya terkedu dan tidak tahu apa yang harus dijawab sebab semuanya betul. Seterusnya dia juga ada menceritakan pertemuannya dengan orang Melayu di Malaysia, dia berkata dia sangat seronok berada di dalam kumpulan orang Melayu disebabkan sifat mereka yang sopan, lemah lembut dan tertib. Mengenai hal ini, saya merasakan sememangnya kita telah didik untuk bersifat sedemian untuk berhadapan dengan orang, sekurang-kurangnya itulah apa yang kita cuba buat walaupun ada kalanya soal keikhlasan itu boleh dipersoalkan. Cuma adakala saya terfikir apakah sifat ini sudah semakin hilang di dalam diri orang kita? Buktinya, lihat sahaja ceramah-ceramah politik sekarang, seolah berada di dalam zon perang.
Berbalik pada kisah kawan saya tadi, akhirnya mereka sekeluarga membuat keputusan untuk balik ke Australia kembali. Sekurang-kurangnya mereka beranggapan itulah yang terbaik untuk dilakukan buat masa sekarang selepas mengambil kira semua permasalahan yang melanda. Bagi diri saya sendiri, kita semua berhak untuk memilih melakukan apa yang terbaik untuk kita. Dan sekiranya apa yang dirasakan yang terbaik itu bukanlah pilihan yang tepat, peluang masih ada untuk memperbetulkannya selagi kita tahu dan faham apa yang sedang kita lakukan. Kadang-kadang kita diberikan kesempatan untuk mempelajari sesuatu dengan cara yang tidak kita sangka-sangka. Wallahualam.

Friday, July 13, 2012

Dulu-Dulu

Tadi masa tengah free aku belek-belek album lama. Gambar-gambar aku masa masih baby. Tengok suasana sekitar sangat lain. Lain bebenar. Macam dulu duk kat tempat yang sangat asing je rasanya. Padahal kami satu famili memang tak pernah berpindah. Aku duk tengok la apa yang lainnya sambil duk ingat-ingat balik mana-mana yang masih tinggal dalam memori. Tapi ada jugak yang sama, contohnya daripada dulu sampai sekarang seberang jalan sana masih ada hutan rimba. Kenapa masih hutan rimba sedangkan kiri kanannya telah menerima arus pembangunan. Sebenarnya rumah aku ni berdepan dengan Unisza, sebelah gate kedua Unisza ni adalah tanah universiti yang disimpan untuk projek-projek masa depan. Sementara proses penyimpanan berlangsung maka hutan menjadi semakin tebal tapi yang herannya jumlah binatang yang dijumpai makin sikit. Dulu anjing liar, kera, ular, biawak, tuntung semua mudah nak jumpa. Sekarang ni anjing menyalak pun dah tak kedengaran, kera bergayut jarang-jarang, ular pun lama tak nampak, biawak masih ada sekali dua muncul, tuntung pun dah tak ada yang kena langgar ngan kereta. Agaknya berlaku penghijrahan ke taman negara secara berperingkat. Seingat aku dulu ada sebatang pokok kelubi yang berbuah lebat tapi gara-gara sekumpulan orang cerdik pandai punya idea, pokok itu ditebang semata-mata mahu diambik buahnya. Pokok gajus yang tumbuh di tepi jalan pun dah tak ada. Bukan itu aja, dua buah pondok telefon turut ghaib ditelan arus masa. 
Jika keluar ke kiri dari rumah aku ni dulu akan jumpa satu simpang tiga yang kecik. Sekarang pun masih simpang tiga cuma kalau dulunya semak samun yang ada lani dah ada restoren. Seingat aku dulu malam-malam orang takut nak lalu sini sebab ada kes sorang penduduk terserempak orang naik beskal waktu dia baru pulang dari surau. Yang seramnya penunggang beskal tu tak da kaki dan pedal beskal tu bergerak sendiri. Penduduk yang bertuah ini dilaporkan demam seminggu selepas kejadian. Kat sini juga berlakunya satu kejadian ragut yang sangat aku ingati. Sebabnya mangsa ragut tu adalah salah seorang jiran kami yang selepas kejadian datang bercerita siap dengan gaya lakonan semula masa dia kena ragut walaupun tanpa dipinta sesiapa. Dengar kata rantai yang diragut tu dijumpai semula tiga bulan pastu. Tak jauh dari situ pulak pernah wujud satu kedai sagu yang dimiliki oleh sorang tokey cina. Disebabkan sini popular dengan perusahaan membuat keropok maka permintaan untuk sagu sangat tinggi. Tapi selepas KUSZA (sekarang Unisza) ditubuhkan, kedai tu berpindah ke sebuah lokasi rahsia. Tapak kedai tu sekarang adalah gelanggang sukan universiti. 
Jauh sikit kat hujung simpang ada sebuah kedai makan yang glamer. Owner dia tu turut jadi drebar van sekolah aku dulu. Tapi kedai tu pun berpindah sebab tapaknya dibeli oleh seorang tokey perabot. Kedai perabot tu masih wujud sampai sekarang. Jalan sikit dari simpang tu akan jumpa kampus UPM cawangan Terengganu. Tapi tak tahu atas sebab apa ditukar nama jadi Kolej Universiti Terengganu sekejap kemudian jadi Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia sebelum dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu sekarang ni. Depan UMT ni pulak ada kem polis. Dulu kem ni dipenuhi dengan kuaters-kuaters kayu, masa ni aku dah sekolah menengah. Sempat la kayuh beskal masuk kem sebab dua tiga orang kawan aku anak polis dalam kem ni, so sempat la diorang bawak jalan-jalan dalam kem. Sekarang ni kuaters dah jadi rumah pangsa 12 tingkat. Dan semua kawan-kawan aku yang bapaknya polis kat sini semua dah pindah.
Bila fikir balik, rupanya banyak dah berlaku perubahan kat area rumah aku ni. Terbaru dikatakan kawasan hutan tu akan dimajukan dengan lot-lot kedai. Kalau betul ada baiknya jugak. Nanti nilai hartanah akan melambung.

Tuesday, July 10, 2012

2012

Lama gila aku tutup blog. Bila bukak balik semua jadi slow, dah tak tahu mana nak cari butang itu ini..nasib baik password masih ingat. Rasa nak menulis balik tu datang secara tiba-tiba, mungkin sekarang aku bosan gila dan dah tak tahu nak buat apa lagi rasanya. Rupanya aku sangat tak sesuai menjadi penganggur..maka aku stat study semula. Buku pertama yang jadi pilihan adalah "Basic Neuroscience", semoga membantu untuk PhD aku nanti. Apapun setelah bertahun-tahun duk dalam kelam, tahun ni membawa satu perkhabaran baik. Januari lalu aku dah selamat viva untuk MSc, walaupun kena cong dengan supervisor tapi syukurla masih bertahan. Dah selamat hanta hard bound kat siswazah pun. Pastu bulan Mac ambik exam IELTS pulak, nasib baik lepas so tak perlu repeat. Sekali repeat dekat 600 RM melayang. Berikutnya kerja sementara kat UiTM Shah Alam, yang ni satu rahmat juga rupanya. Selain menjana pendapatan ada insan sudi memperbetulkan byk perkara tak betul dalam diri ni. Semoga dapat dijadikan panduan untuk masa depan. Bulan Mei dipaksa balik ke USM pulak, ada unsur-unsur ugutan diselang seli dengan ancaman yang bukan main-main. Maka baliklah aku semula untuk suatu tempoh demi merealisasikan satu matlamat agung pihak-pihak tertentu. Sambil-sambil tu awal Jun sempat memproses borang SLAB untuk hantar ke KPT. Seterusnya join BTN 21-25 Jun pastu balik semula ke USM untuk misi yang tertangguh tadi. Selepas semuanya selesai InshaAllah Ogos ni berangkatla aku ke tempat yang baru. Amin.

BTN


Aku baru saja balik dari kursus BTN. Sekarang ni dia sebut kursus persediaan pegawai ke luar negara. Bukan saja sebutan tapi intipati pun dah lain. Sebelum pergi aku rasa bimbang, risau, ngeri dan segala macam perasaan negatif lain lagi. Sebabnya kem-kem BTN ni biasanya dalam hutan, kelengkapan pun ala kadar dan lebih azab bila ada ada aktiviti masuk hutan, terjun-terjun dan sebagainya. Sebab itulah join BTN aku letak paling last dalam list aku sebagai persediaan untuk PhD. Walau dah letak paling last tapi akhirnya masa tu sampai jua, aku dapat notis 2 hari sebelum berangkat maka tak sempat nak rasa takut lebih-lebih terus kena pergi.
Rupanya aku cukup bernasib baik, sekarang semua kursus dibuat dekat Akademi Kenegaraan kat Jalan Bellamy tu. Dekat je dengan ikan bakar Bellamy yang femes tuh. Totally memang 100% lain, bilik sorang satu..duk dalam apartment lagi. Satu apartment 3 bilik, siap dengan aircond. Selain daripada jirat cina kat belakang bangunan yang lain semuanya okay. Makan minum pun sedap, aktiviti outdoor takde langsung. Dengar ceramah je pagi petang siang malam. Pastu tido then ceramah lagi sampailah 5 hari. Yang pernah duk kem BTN Ulu Sepri (gambar atas) mesti tak puas hati, hehehe...


***Lama gila aku tutup blog ni sampai tak reti nak bukak balik....

Wednesday, July 20, 2011

Tiga cara

Ikut pengalaman hidup aku ada beberapa cara untuk protes ataupun membuat bantahan atas ketidakpuasan hati.
1. Cara pertama adalah buat bising. Ini bukannya bermaksud pergi main muzik ataupun join pancaragam sambil buat barisan depan orang yang berkaitan itu tapi apa-apa yang tak puas hati tu suarakan aja depan-depan. Biar riuh rendah. Biar apa pun terjadi lepaskan aja semuanya. Tapi cara ini membuatkan anda sangat teruk di mata orang lain dan dicop dengan macam-macam gelaran kehormat yang menyakitkan telinga dan hati.
2. Cara kedua adalah pendekatan menyindir. Muka buat ceria sambil senyum manis menawan kalbu tapi bahasa mak ai tepat kena ke dasar hati. Bagi yang terkena mungkin tak boleh tidur beberapa malam sebab sakit hati. Bila praktik cara ini bersedialah untuk dilabelkan sebagai mulut jahat, mulut longkang ataupun mulut jamban. Pastikan juga anda tahu bacaan pendinding dikhuatiri anda akan jadi mangsa sihir dan santau. Lagipun dewasa ini industri ilmu hitam sedang rancak berkembang.
3. Cara ketiga adalah dengan tidak memberikan respon secara lisan. Juga tidak mengata belakang ataupun bukak korum mengumpat dengan orang lain. Tapi dengan melakukan tindakan-tindakan yang menunjukkan anda tidak bersetuju ataupun tidak berpuas hati dengan orang terbabit. Perlakuan buat macam biasa, menyembang macam selalu tapi pastikan dia nampak apa anda buat itu. Contohnya bagi hausmate yang suka buat sepah boleh tawarkan diri untuk kemas semua barangnya sambil mempamerkan wajah ikhlas yang penuh dengan kemanisan. Kalau tak sentap lagi memang bukan manusia la tuh.

Wednesday, July 13, 2011

Check Out

Dah tiga tahun aku duk di Villa Sri Muafakat ni. Memang tepat tiga tahun. Masuk tengah bulan Julai 2008, keluar pun tengah bulan yang sama cuma tahun 2011. Rasanya dah sampai waktu aku check out. Bye bye.

*tuan rumah~ terima kasih banyak2 sebab anda memang insan paling pemurah yang pernah aku kenal..

Tuesday, July 12, 2011

Perosak

Kalaulah Malaysia ni pakai undang-undang Islam haruslah pencuri malam tadi kena potong tangan. Kalau boleh potong semua tangan dan kaki sekali. Sebab memang jahanam punya makhluk. Ikut hati maunya ambik barang yang pencuri tu tertinggal bawak pi hanta bomoh Siam, suruh bomohkan sampai masuk kubur. Lagi cepat lagi baik. Tapi sebab tu berdosa besar so tak boleh buat. Yang mampu buat doakan si pencuri tu dapat bala. Setimpal dengan apa yang dia buat sampai orang lain susah. Gila apa bangun tengah-tengah malam pi balai polis dengan baju tidur. Dah la tengah mamai cakap pon main ikut sedap mulut. Apapun aku rasa ada bagusnya jika ada kebolehan menjerit sampai bergegar rumah. Jiran-jiran pun terbangun, pencuri pon lari macam babi liar. Terkejut katanya sampai tertinggal peralatan semua bagai. Bodos punya orang, patut mati aja. Aku geram.

*orang duk kata polis jahat, bagi aku diorg elok saja..layanan pun tiptop