Tadi masa tengah free aku belek-belek album lama. Gambar-gambar aku masa masih baby. Tengok suasana sekitar sangat lain. Lain bebenar. Macam dulu duk kat tempat yang sangat asing je rasanya. Padahal kami satu famili memang tak pernah berpindah. Aku duk tengok la apa yang lainnya sambil duk ingat-ingat balik mana-mana yang masih tinggal dalam memori. Tapi ada jugak yang sama, contohnya daripada dulu sampai sekarang seberang jalan sana masih ada hutan rimba. Kenapa masih hutan rimba sedangkan kiri kanannya telah menerima arus pembangunan. Sebenarnya rumah aku ni berdepan dengan Unisza, sebelah gate kedua Unisza ni adalah tanah universiti yang disimpan untuk projek-projek masa depan. Sementara proses penyimpanan berlangsung maka hutan menjadi semakin tebal tapi yang herannya jumlah binatang yang dijumpai makin sikit. Dulu anjing liar, kera, ular, biawak, tuntung semua mudah nak jumpa. Sekarang ni anjing menyalak pun dah tak kedengaran, kera bergayut jarang-jarang, ular pun lama tak nampak, biawak masih ada sekali dua muncul, tuntung pun dah tak ada yang kena langgar ngan kereta. Agaknya berlaku penghijrahan ke taman negara secara berperingkat. Seingat aku dulu ada sebatang pokok kelubi yang berbuah lebat tapi gara-gara sekumpulan orang cerdik pandai punya idea, pokok itu ditebang semata-mata mahu diambik buahnya. Pokok gajus yang tumbuh di tepi jalan pun dah tak ada. Bukan itu aja, dua buah pondok telefon turut ghaib ditelan arus masa.
Jika keluar ke kiri dari rumah aku ni dulu akan jumpa satu simpang tiga yang kecik. Sekarang pun masih simpang tiga cuma kalau dulunya semak samun yang ada lani dah ada restoren. Seingat aku dulu malam-malam orang takut nak lalu sini sebab ada kes sorang penduduk terserempak orang naik beskal waktu dia baru pulang dari surau. Yang seramnya penunggang beskal tu tak da kaki dan pedal beskal tu bergerak sendiri. Penduduk yang bertuah ini dilaporkan demam seminggu selepas kejadian. Kat sini juga berlakunya satu kejadian ragut yang sangat aku ingati. Sebabnya mangsa ragut tu adalah salah seorang jiran kami yang selepas kejadian datang bercerita siap dengan gaya lakonan semula masa dia kena ragut walaupun tanpa dipinta sesiapa. Dengar kata rantai yang diragut tu dijumpai semula tiga bulan pastu. Tak jauh dari situ pulak pernah wujud satu kedai sagu yang dimiliki oleh sorang tokey cina. Disebabkan sini popular dengan perusahaan membuat keropok maka permintaan untuk sagu sangat tinggi. Tapi selepas KUSZA (sekarang Unisza) ditubuhkan, kedai tu berpindah ke sebuah lokasi rahsia. Tapak kedai tu sekarang adalah gelanggang sukan universiti.
Jauh sikit kat hujung simpang ada sebuah kedai makan yang glamer. Owner dia tu turut jadi drebar van sekolah aku dulu. Tapi kedai tu pun berpindah sebab tapaknya dibeli oleh seorang tokey perabot. Kedai perabot tu masih wujud sampai sekarang. Jalan sikit dari simpang tu akan jumpa kampus UPM cawangan Terengganu. Tapi tak tahu atas sebab apa ditukar nama jadi Kolej Universiti Terengganu sekejap kemudian jadi Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia sebelum dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu sekarang ni. Depan UMT ni pulak ada kem polis. Dulu kem ni dipenuhi dengan kuaters-kuaters kayu, masa ni aku dah sekolah menengah. Sempat la kayuh beskal masuk kem sebab dua tiga orang kawan aku anak polis dalam kem ni, so sempat la diorang bawak jalan-jalan dalam kem. Sekarang ni kuaters dah jadi rumah pangsa 12 tingkat. Dan semua kawan-kawan aku yang bapaknya polis kat sini semua dah pindah.
Bila fikir balik, rupanya banyak dah berlaku perubahan kat area rumah aku ni. Terbaru dikatakan kawasan hutan tu akan dimajukan dengan lot-lot kedai. Kalau betul ada baiknya jugak. Nanti nilai hartanah akan melambung.
No comments:
Post a Comment