Wednesday, June 2, 2010

Monday, May 24, 2010


Hari ni 24 Mei 2010. Hari untuk bertolak. Pergi bukan lama mana pun cuma semusim. Sehari dua sebelum pergi sibuknya bukan main kalah orang pergi haji. Cuma bezanya takde kursus dan juga tiada kelas-kelas yang perlu dihadiri sebelum hari keberangkatan. Kali ni tak bawa barang banyak sebab berdasarkan pengalaman lalu semua itu macam tak perlu. Bawak banyak-banyak bakal menyusahkan diri duk mengangkut semua tu nanti. Tapi takde la sikit sangat setaraf lenggang kangkung kat tepi parit. Sedang-sedang saja dan yang pasti tiada kebimbangan muatan akan terlebih yang boleh merisikokan pembayaran untuk suatu jumlah yang tinggi.
Flight ke Amsterdam amik masa 12 jam lebih kurang. Bagi orang yang susah nak tidur dalam mana-mana kenderaan macam aku ni ini agak merisaukan. Sangat la boring 12 jam tak buat apa-apa dan dalam masa yang sama kat luar tiada apa-apa yang boleh ditinjau. Maka beberapa bijik buku telah dibawa untuk mengatasi perasaan bosan yang bakal melanda.
Tengahari ini pun masih ada beberapa kerja yang mesti diselesaikan. Harap semuanya sempat disiapkan sebelum berangkat.

*Hati yang rawan....

Saturday, May 22, 2010

Tabah hati

Tak lama dulu aku ada kenal sorang budak. Masa tu aku baru je stat buat master dan dalam proses nak pindah ke Kelantan. Dia tiga tahun lebih muda daripada aku, kiranya umur dia sebaya dengan adik aku. Tapi yang membezakan mereka berdua adalah budak ni anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah kebajikan. Tiada saudara mara langsung untuk dikenali hanya mempunyai beberapa rakan rapat yang senasib dan selepas umur 17 mereka kena keluar dan meneruskan kehidupan di dunia luar. Biasanya mereka akan dibekalkan dengan sedikit wang untuk memulakan kehidupan selepas bertahun-tahun di rumah kebajikan. Untuk menyara hidup macam -macam kerja dah dilakukan daripada kerja-kerja restoren, sapu-sapu jalan sehinggalah tulis lirik kat Pasar Seni. Betapa susah dan getir hidupnya pun tiada tempat untuk mengadu. Tiada ibubapa, tiada adik beradik dan tiada saudara mara. Dengan keadaan yang sedemikian dia telah menjadi seorang yang tabah hati dan sangat-sangat berdikari. Sepanjang kenal dia tak pernah mengeluh dengan takdir hidupnya. Malahan sangat tenang ketika bercerita itupun selepas ditanya berkali-kali. Juga tidak pernah menyalahkan ibubapanya yang tidak diketahui berada di mana kerana baginya tanpa diorang dia takkan berpeluang menjejakkan kaki kat dunia ni meskipun hidupnya penuh dengan duka lara.
Itu dulu. Apa-apa yang aku tau semuanya dia yang ceritakan. Dan aku beranggapan kehidupannya adalah seperti yang diceritakan. Tapi beberapa minggu lepas aku baru dapat tahu yang kisah yang diceritakan hanyalah secebis daripada rencah hidupnya. Itupun diketahui daripada artikel majalah yang membuat cerita pasal anak-anak tak beribu bapa renteten daipada kejadian buang-buang bayi menjadi suatu fenomena seni. Biarpun hidup dia tidak sama dengan orang lain, biarpun dia tiada apa yang kita ada tapi dia dikurniakan satu ketabahan yang luar biasa.

Friday, May 21, 2010

Hajat

Kira-kira enam tujuh tahun lepas aku ada memohon dua hajat. Memohon pada Tuhan. Ketika itu aku masih tercari-cari arah tuju dalam kehidupan. Berbekalkan pengalaman yang masih cetek aku telah banyak membuat pertimbangan dan beberapa keputusan penting. Tapi hajat yang dipohon itu seolah-olah makin jauh dan jauh sehinggalah seolah-olah sudah tak tercapai lagi. Tetapi sesungguhnya manusia tidak akan tahu percaturan Yang Maha Kuasa, perkara yang semacam mustahil boleh terjadi. Itulah yang berlaku. Di saat ini aku sangat bersyukur dengan apa yang aku dapat. Kemanisan mendapat sesuatu yang beerti setelah sekian lama sangat indah. Aku akan jaga aku akan simpan. Aku hargai. Hargai dengan apa yang berlaku. Sebabnya sangat jelas, penilaian seseorang itu sangat abstrak. Ada mata yang gagal melihat. Mungkin sengaja menutup mata untuk suatu kebenaran.
*Percaya pada takdir...

Thursday, May 20, 2010

Tak Faham

Sungguh aku tak faham hati perasaan sesetengah manusia. Walaupun golongan ini tak ada la ramai sangat tapi sedikit sebanyak boleh mendatangkan kesan kat life aku. Bukan aku tak cuba tapi dah penat. Senang kata mungkin dah bosan seolah-olah semakin hilang momentum. Mungkin tanpa sedar aku dah mengabaikan orang lain yang berada dipersekitaran hidup aku. Tapi ada sesuatu yang perlu diingati, tidakkah berasa bosan untuk sentiasa main game siapa mula dulu? Seolah-olah ia adalah suatu benda yang seronok. Makin lama aku merasakan semakin jengkel. Sekarang juga dah stat untuk rasa meluat, makin lama makin membuak. Bila rasa tu dah sebati dengan diri nak pandang pun aku dah tak sudi. Cukup-cukuplah, aku dah penat. Lebih baik tenaga yang ada disalurkan ke tempat lain.
*Sila fikir dalam-dalam

Tuesday, May 18, 2010

Sikap

Derus memang seorang yang keras kepala. Selain itu dia jugak sentiasa merasakan dirinya sangat betul dalam serba serbi kejadian. Kalau penyanyi Nora mempunyai lagu hit "kau tak pernah jauh" Derus pulak menjadikan lagu ciptaannya sendiri yang bertajuk "ku tak pernah salah" sebagai siulan hariannya. Bukannya salah ibu mengandung, didikan yang diberikan sudah lebih dari cukup kalau tak masakan beliau mula mencarut sejak tahun pertama masuk tabika. Tahap pendidikan pula bukannya serendah tanah serendah sekebun bunga tapi setinggi patung Mao Zhu yang pernah dicadangkan dibina di tepian pantai di satu daerah kat Sabah. Tapi Derus gagal untuk mengikuti resmi padi yang mana semakin berisi semakin tunduk tetapi lebih rela memilih untuk bersikap seperti enau dalam belukar. Adapun punca permasalahan ini adalah disebabkan beliau gagal mendapat teguran orang disekelilingnya. Gara-gara takutkan beliau maka semua tindakan beliau dianggap betul dan membantah beerti salah besar. Sangat besar sehinggakan gagal mendapat pengampunan. Maka orang sekeliling beliau boleh dianggap kejam kerana membiarkan semuanya berlaku tanpa apa-apa tindakan yang konkrit. Semua pengecut yang sebenarnya boleh dikumpulkan ramai-ramai dan seterusnya dikenakan hukuman baling tahi lembu kat tengah padang. Gara-gara sikap tidak membantah inilah yang menjadikan keadaan Derus bertambah parah. Menjadi seorang yang sentiasa menganggap dirinya betul dan juga tak ambil pakai pendapat orang. Semuanya masuk tong dan disimen kemas-kemas dan dicampak kat mana-mana lombong. Sekarang dah sampai tahap tu.

Akal

Seseorang yang mempunyai otak tak berapa betul pernah berpesan supaya perasaan yang tak best jangan dilayan sangat, kalau tak mampu buang terus pun campak sajalah sejauh mungkin. Tak kisah la mana-mana satu pun asalkan jangan simpan dalam diri. Nanti jadi busuk dan mengeluarkan aura yang merosakkan. Dan disebabkan pegangan beliau jarang sekali aku tengok dia berserabut, malah sentiasa tersenyum dan tersengih ceria. Memang la dia boleh dikategorikan tak berapa betul tapi apa-apa yang baik boleh diambik iktibar, kalau benda asas macam ni pun gagal difahami apakah perbezaan di antara kita dengan golongan seperti mereka itu? Maka secara sikit-sikit kita pun secara tanpa disedari akan terikut menjadi tak berapa betul juga.
Bila dah fikir macam cara beliau fikir, apa-apa musibah yang berlaku semuanya diambik secara positif. Pendek kata lebih baik buat tak kisah daripada duk pendam sampai jiwa jadi sengsara. Macam mana nak buat tak kisah sedangkan sorang manusia tu dibekalkan dengan sesuatu yang dipanggil perasaan? Jawapannya itu semua bergantung pada pertimbangan sesuatu anugerah terulung yang dipanggil akal. Jika pandai uruskan akal maka selamatlah semuanya dan jika gagal masuklah ke lembah kehancuran yang membawa kebinasaan.