Monday, March 14, 2011

Cawangan

Bermula dari satu. Dikembangkan jadi dua. Membesar dan membesar dengan pantas. Tidak pernah mengecut. Sangat pasti itu tidak pernah berlaku. Sejajar dengan masa, makin berkembang mengikut janjang geometri. Pada masa gawat pun masih mampu mencatatkan pertumbuhan positif dua angka. Pada kemuncaknya telah melimpah ruah sehingga terpaksa dikecilkan saiz. Sesungguhnya pengecilan itu tidak mampu menyaingi pertumbuhan yang luar biasa.
Sehinggalah beberapa ketika kebelakangan ini cawangan bertambah lagi kepada dua. Satu masih di kawasan berdekatan tapi yang satu lagi nun jauh di ibu kota. Sekarang jadi empat. Risau. Takut jadi lapan dan enam belas sehinggalah seterusnya. Bila akhirnya mahu berhenti? Masih tiada tanda-tanda itu. Akhirnya kat mana aku nak duduk?

Wednesday, March 9, 2011

Buta Tuli

Seorang buta yang sedang dalam perjalanan ke suatu tempat biasanya tidak ada gambaran langsung tentang tempat tujuannya itu. Mana mungkin dia tahu mengenai semua benda dan perkara yang belum pernah dilihatnya untuk sepanjang hayat? Manusia yang normal pun sentiasa silap gambaran antara bayangan dengan realiti. Semuanya disebabkan oleh suatu kekaburan akibat cetek ilmu dan pengalaman.
Dengan kekurangan yang ada itu ada baiknya insan yang buta tadi menanamkan sedikit kepercayaan pada orang lain untuk membantunya mencari arah yang dikehendaki. Sekiranya sudah ditunjukkan jalan seikhlas mungkin tetapi masih ragu dan sangsi cukuplah semua itu. Ada perkara kena dihentikan dengan baik dan sopan. Barangkali hatinya sudah dilitupi kegelapan. Suatu hari nanti mungkin keadaan berubah. Yang penting masih sudi untuk menanti saat itu. Mungkin juga selamat tinggal adalah ucapan paling sesuai.